PENDIDIKAN PERLU SEIRING TEKNOLOGI, NAMUN BERTERASKAN IMAN DAN ADAB – KP IKIM

KUCHING, 23 Okt (IKIM) – Pendidikan masa kini perlu terus diperkasakan dalam kalangan anak muda meskipun dunia sedang pesat melangkah ke era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Beliau menegaskan bahawa teknologi hanyalah alat yang perlu dipandu dan diawasi penggunaannya agar tidak digunakan secara membuta tuli dalam sistem pendidikan.

“Teknologi sebagai alat perlu dipandu dan diawasi aspek penggunaannya, dan kita tidak boleh terus mempercayai apa yang ada pada alat tersebut dalam mengaplikasikannya dalam sukatan pendidikan,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel pada sesi forum sempena Persidangan Antarabangsa Pendidikan Bagi Pembangunan Holistik Insan 2025 yang berlangsung di Pusat Informasi Islam (IIC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan memerlukan satu bentuk tapisan dalaman dalam diri individu, khususnya melibatkan aspek iman, adab dan akhlak.

“Dalam pendidikan, penggunaan teknologi dan kemajuan AI perlulah diperhalusi agar anak-anak muda kini celik teknologi tetapi tidak miskin jiwa dan iman. Aspek adab dan akhlak perlu terus ditanamkan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa pendidikan yang seimbang antara ilmu, nilai dan kemahiran teknologi akan melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir menggunakan alat digital, tetapi juga berjiwa luhur serta beretika dalam tindakannya.

Turut hadir dalam program tersebut Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak,  Prof. Ir. Dr. Juferi Idris; Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam, Prof. Dr. S. Salahudin Suyurno; dan Rektor Institut Agama Islam Negeri Pontianak Indonesia Prof. Dr. KH. Syarif. 

Program anjuran ACIS ini merupakan sebahagian daripada Program Rehlah Tarbawi dan Curah Bakti 2025 yang memberi penekanan kepada pembina karakter pendidik Islam melalui pendekatan tarbiyah, khidmat masyarakat dan pendedahan realiti dakwah. 

Foto: Mohamad Daniel Syafiq Mohamad Sulaiman

WhatsApp
Scroll to Top