KUALA LUMPUR, 13 Oktober (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) kini mencari wajah baharu penyampai radio menerusi program ‘Pencarian Penyampai IKIMfm’.
Program yang telah bermula sejak 17 September lalu menampilkan 10 finalis penyampai jemputan yang telah dipilih daripada ratusan yang menyertai sesi pencarian yang dibuat menerusi platform digital IKIMfm. Antara penyampai yang terpilih Asyraf Hakimi Abdul Jalil atau Cikgu Asyraf (25), Ahmad Al-Muhsin Mohamed Nor (31), Naufal Isa (25) dan Sheikh Eamir Deedat bin Nasir atau Ryan Deedat (31).
Selain itu, Mohamad Zulkifly Che Rus (32), Nazihah Ibni Hajar (25), Nur Izzati Che Ani (34), Nawar Anisa Abdul Salam, Nur Izzah Musfirah Musyadi (23), dan Nur Syafiqah Bee Ayub Khan (25) turut terpilih di kalangan 10 finalis ynag telah bersiaran sebagai penyampai jemputan bermula 17 September sehingga 11 Oktober lalu.
Pengurus Rancangan IKIMfm, Hajah Norhayati Paradi berkata peminat dan pendengar setia IKIMfm turut diberi peluang untuk memilih penyampai pilihan mereka menerusi undian di laman rasmi IKIMfm bermula 12 Oktober sehingga 3 November ini. Undian hanya boleh dibuat untuk seorang penyampai sahaja bagi satu-satu masa dan boleh mengundi berulang kali dengan selang masa 1 jam untuk setiap undian.
“10 Finalis Pencarian Penyampai IKIMfm ini telah diundang menjadi Penyampai Jemputan bagi segmen Inspirasi Pagi bergandingan bersama Suffian Amrin dan Tyzo Xander; Inspirasi Ilmu bersama Syafiq Salleh; dan turut bersiaran menerusi segmen Inspirasi Jiwa bersama Siti Rohani Surani,” tambah beliau.
Bakat dan penampilan mereka keudara turut akan dinilai oleh pihak pengurusan IKIMfm.