PEMBOIKOTAN KE ATAS SYARIKAT KK MART HARUS DIHENTIKAN DEMI KEMASLAHATAN SEJAGAT

Kuala Lumpur, 7 Mei (IKIM) – Kebelakangan ini, isu berkaitan status boikot sebuah syarikat kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) serta gerakan memboikot syarikat-syarikat penyokong Israel sedang hangat diperkatakan di dalam komuniti Malaysia kini.

Sebelum ini, Sahibus Samahah Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berpandangan bahawa pemboikotan terhadap syarikat KK Mart harus diberhentikan kerana berlawanan dengan keadilan Islam dan tidak menepati Sunnah Baginda SAW.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam satu kenyataan hari ini berpendapat agar isu boikot perlu dilihat dari aspek neraca keadilan, maslahah serta mafsadah.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya. Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menyeru orang ramai untuk berfikir secara rasional dengan melihat setiap sudut positif dan negatif di atas tindakan yang mereka lakukan.

Mohamed Azam turut menegaskan sememangnya tindakan boikot yang dilakukan menunjukkan kuasa pengguna yang sebenar, akan tetapi perlu diingati adakah tindakan yang dilakukan memberikan kesan kepada kemajuan ekonomi negara dan adakah pihak yang terlibat akan terkesan dengan tindakan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Azam berkata dikhuatiri boikot yang bersifat emosi dan tanpa perancangan rapi ini akan memberikan impak kepada ekonomi orang Islam sendiri.

Justeru, IKIM merasakan bahawa isu boikot ini harus diteliti secara mendalam dan IKIM turut akan menganjurkan perbincangan meja bulat dalam masa terdekat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berkaitan isu ini.

Scroll to Top