KUALA LUMPUR, 18 Sept (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pengurusan haji unggul dengan kejayaan operasi Haji Musim 1446H/2025M tanpa sebarang insiden tidak diingini, hasil usaha gigih serta komitmen tinggi petugas Tabung Haji (TH) dan agensi-agensi berkaitan di Tanah Air serta di Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata kejayaan itu adalah bukti perancangan rapi, kerjasama strategik serta semangat amanah seluruh warga kerja yang bertugas hampir 24 jam sehari demi kelancaran ibadah para Dhuyufurrahman.
Beliau berkata kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama korporat yang turut menjayakan operasi haji dengan TH menerima sumbangan lebih RM7 juta daripada 34 syarikat korporat melalui program Sahabat Korporat TH.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji 1446H dan Penghargaan Sahabat Korporat 2025 di sini hari ini.
“Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan tahniah dan syabas kepada pengurusan Tabung Haji serta semua agensi yang terlibat atas usaha murni menguruskan perjalanan haji para jemaah,” katanya beliau.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mesaad Ibrahim Al Sulaim, atas kerjasama erat dalam urusan visa, pelaksanaan inisiatif Makkah Route serta sokongan menyeluruh sepanjang operasi haji.
Beliau dalam pada itu turut berkongsi kejayaan Malaysia menerima pengiktirafan tertinggi pengurusan haji, Labaytum Diamond Award, daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Anugerah ini mencerminkan mutu perkhidmatan cemerlang yang disediakan TH serta mengukuhkan lagi reputasinya sebagai model pengurusan jemaah haji terbaik di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Mohd Na’im berkata musim haji tahun ini menyaksikan integrasi penuh Sistem Pengurusan Rekod Kesihatan Jemaah (SIHAT) dengan Pembantu Kesihatan Maya (MyVAS) kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membolehkan pasukan perubatan mengakses rekod kesihatan jemaah secara terus di Tanah Suci bagi rawatan lebih cepat dan menyeluruh.
Selain itu, Sistem Agensi Haji (SAH) turut diperkenalkan bagi memperkukuhkan pengurusan jemaah di bawah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).
“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen TH dalam memperkukuh transformasi digital demi kebajikan Dhuyufurrahman,” ujar beliau.
Ditanya mengenai perancangan masa depan TH, beliau berkata antara penambahbaikan yang sedang dikaji bagi musim haji 1447H/2026M ialah pelaksanaan serahan pasport digital untuk urusan permohonan visa haji, selain melantik syarikat penyedia perkhidmatan baharu di Arab Saudi demi memberikan pengalaman yang lebih selesa kepada jemaah.
Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan penghargaan kepada para petugas media yang menyediakan laporan dan liputan sepanjang musim haji kali ini termasuk Berita IKIMfm yang diwakili Pengurus Berita dan Advertorial, Hajah Maslina Alias.
Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad serta Ketua Rombongan Haji Malaysia 1446H, Tuan Haji Mohd Hisham Harun.