NUZUL QURAN : TERAPKAN NILAI-NILAI MURNI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN – MOHD NA’IM

PUTRAJAYA, 17 Mac (IKIM) – Umat Islam disaran menghayati mesej al-Quran dan menerapkan nilai-nilai murni melalui mesej tersebut di dalam kehidupan seharian. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Al-Quran sebagai sumber wahyu yang penuh hikmah adalah asas untuk membina masyarakat yang lebih adil makmur dan beradab. 

“Marilah kita semua terus berpegang dengan ajaran al-Quran dalam membentuk negara yang lebih maju, penuh kasih sayang dan saling menghormati,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian dalam video ucapan sempena sambutan Nuzul Quran di aplikasi Facebook hari ini. 

Mohd Na’im berkata sebagai negara yang mengamalkan prinsip Malaysia Madani, kita menjunjung tinggi nilai-nilai agama, budaya dan kemanusiaan. Malaysia Madani menekankan kesejahteraan rakyat melalui perpaduan, keharmonian dan pembangunan yang seimbang.  

Beliau turut berpesan untuk terus perbanyakkan membaca, menghafal dan mentadabbur al-Quran, serta aplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. 

“Semoga peringatan ini memberi inspirasi kepada semua untuk jadi rakyat Malaysia yang lebih baik, berilmu, bertakwa dan berdaya saing dalam merealisasikan visi Malaysia Madani,” kata beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top