SAAT Allah SWT memberi peluang kepada manusia untuk menghadapi bulan Ramadan ia merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan di dalam hidup kerana belum pasti mereka dapat menikmatinya pada masa akan datang. Ganjaran syurga yang khusus bagi mereka yang berpuasa akan ditentukan oleh Allah SWT. Indahnya syurga tidak pernah dilihat oleh sesiapa, telinga tidak pernah mendengar akan suasana di dalamnya, malah hati juga tidak pernah terdetik betapa cantiknya keadaan di syurga.
Di saat berada di dalam syurga, di antara perkara yang masih lagi boleh diteruskan oleh penghuninya ialah bertani dan berzikir. Abu Hurairah RA meriwayatkan, pada suatu hari ketika Rasulullah SAW bersama para sahabat bercerita berkenaan keadaan di dalam syurga nanti. Pada ketika itu ada orang Arab Badwi yang sedang duduk bersama Baginda. Rasulullah berkata, makasudnya “Ada lelaki yang menghuni syurga yang memohon keizinan daripada Allah untuk bercucuk-tanam. Lalu Allah bertanya kepadanya, “Tidakkah kamu berasa cukup apabila berada di dalam syurga ini, sehingga kamu masih ingin bercucuk-tanam di dalamnya? Lalu lelaki itu menjawab bahawa segala yang ada di dalam syurga itu sudah mencukupi tapi dia masih berkeinginan untuk bertani kerana dia telah melakukan amalan ini ketika hidup di dunia dahulu. Setelah diizinkan Allah, lelaki itu mula menebarkan benih dan ia tumbuh dengan cepat serta boleh terus dituai hasilnya. Pokok dan hasil tanaman itu sebesar gunung, lalu Allah berfirman, “Semua ini untuk kamu wahai anak Adam, sesungguhnya tidak ada satu pun yang dapat membuat kamu berasa puas.”
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada hari Khamis jam 5.15 petang turut berkongsi bahawa Ibnu Abbas RA meriwayatkan, Rasulullah SAW menyebut maksudnya, “Batang kurma di dalam syurga ini berwarna zamrud (hijau), warna buahnya emas merah dan pelepahnya menjadi jubah kepada penghuni-penghuni syurga. Kain di dalam pakaian mereka berasal daripada buahnya seperti tempayan, berwarna lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu, lebih halus daripada keju dan tidak berbiji.” Di dalam syurga dapat dirasai nikmatnya keadaan berangin dengan baunya yang sangat harum. Rasulullah SAW bersabda, sekiranya pada suatu hari ada seseorang menghadiahkan kamu wangian, maka janganlah kamu menolaknya kerana wangian itu datangnya daripada syurga (Hadis riwayat Imam Tarmizi dan Imam al-Nasaie).
Imam Qurtubi menjelaskan bahawa ada ulama yang menyatakan di syurga tidak ada siang dan malam, mereka akan berada di dalam cahaya buat selama-lamanya. Mereka mengetahui ukuran malam dengan ukuran turunnya hijab sebagai penutup pintu sahaja. Untuk mengetahui tibanya waktu siang, maka hijab akan disingkap sebagai pembukaan pintu. Firman Allah di dalam surah al-Waqiah, ayat 17-21: “Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.”
Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah pernah ditanya apakah kauthar itu. Baginda menjawab, ia adalah sungai yang diberikan Allah kepada Rasulullah di syurga yang lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Dan di dalamya ada burung yang cantik bagaikan punggung unta. Kemudian Saidina Umar berkata, “Itu pasti kenikmatan ya Rasulullah.” Baginda berkata memakan burung itu lebih nikmat daripada memandangnya. Allah menyiapkan istana-istana, khemah-khemah dan syurga bagi orang mukmin. Terdapat juga kebun-kebun, taman-taman yang cantik serta tempat tidur yang indah. Diciptakan sandaran yang menakjubkan dengan warnanya yang mewah yang tidak pernah dilihat sebelum ini dengan ketenteraman dan kenikmatan yang abadi. Permaidaninya diperbuat daripada sutera yang tebal, terhampar di setiap tempat dengan warna-warna yang menyilau mata, menggembirakan hati dan jiwa penghuni syurga.
Sesungguhnya kenikmatan syurga yang sangat indah ini adalah di antara ganjaran kepada manusia yang menghidupkan sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan. Amalan yang wajar di lakukan pada tempoh waktu tersebut ialah memohon keampunan daripada Allah SWT dan memohon agar diganjari dengan syurga pada Hari Akhirat kelak. Selain itu berusahalah untuk membaca dan mengkhatam al-Quran pada bulan Ramadan. Lebih baik lagi sekiranya berusaha untuk menghafaz dan bertadabbur dengan al-Quran, malah diamalkan di dalam kehidupan seharian.
Amalan lain yang dituntut ialah memperbanyakkan beriktikaf. Rasulullah sendiri pada sepuluh malam terakhir, tinggal di masjid dan tidak pulang ke rumah sehingga tiba pada malam Hari Raya. Ganjaran syurga juga menanti mereka yang menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan dengan bangun bertahajud pada satu pertiga malam. Selain itu, banyakkan infaq, bersedekah dan berzakat agar peluang untuk beroleh ganjaran syurga terbuka luas kepada mereka yang mengamalkannya. Sambunglah silaturrahim sebagaimana pesanan Rasulullah, agar disebarkan salam pada orang yang dikenali atau tidak kerana amalan ini dapat menyebarkan perdamaian dan ukhwah di kalangan manusia. Tidak akan masuk syurga bagi sesiapa yang mati di dalam keadaan memutuskan silaturrahim. Ziarahi kubur untuk menyambung silaturrahim dengan mereka yang telah meninggal dunia dengan mendoakan keampunan di atas dosa-dosa mereka bukan hanya dijadikan amalan pada Hari Raya tetapi juga amalan terbaik pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Jun 2017