DALAM menggapai keharmonian dalam kehidupan ini tidak ada jalan lain selain mentaati perintah Allah SWT. Orang yang taat akan perintah Allah dan menjauhkan dirinya dari segala perbuatan mungkar akan dapat mencapai kebahagiaan yang hakiki dan akan mendapat kecintaan Nabi Muhammad SAW.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Muhamad Juoi yang bersiaran setiap hari Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, beliau memulakan rancangan dengan kisah sahabat bernama Rabiah yang bercerita tentang pada suatu hari ketika dia bersendirian hanya dengan baginda Rasululullah SAW, baginda berkata kepada Rabiah “mintalah pohonlah apa yang kamu mahukan” lalu Rabiah berkata “Aku hanya minta untuk menjadi temanmu di dalam syurga Allah SWT”. Lalu baginda menjawab “ Bantulah aku untuk mencapai keinginanmu dengan cara perbanyakkan sujud kepada Allah SWT.
Daripada kisah yang disampaikan itu jelas mesejnya kepada kita untuk memperbanyakkan ibadah solat kepada Allah apatah lagi pada penghujung bulan Ramadan yang selalu ditunjukkan oleh baginda Rasulullah iaitu sebahagian waktu dihabiskan di masjid-masjid.
Sesungguhnya pada 10 hari terakhir di bulan Ramadan ini, kita hendaklah lebih serius dalam melakukan amal ibadah kepada Allah dan inilah juga dikatakan sebagai waktu terbaik untuk kita menyemak sejauhmana amalan dan kedudukan nafsu kita sendiri dalam melaksanakan amal ibadat kepada Allah SWT.
Bagi mereka yang telah melakukan pecutan amal pada fasa terakhir Ramadan ini, teruskan dengan semangat ibadah kerana pastinya Allah akan menghadiahkan detik lailatul qadar kepada mereka yang ikhlas dalam amal ibadat kepada Allah taala. Bahkan bagi mereka yang masih lagi ketinggalan menjana hubungan dengan Allah, masih lagi tidak akrab dengan masjid, masih lagi tidak mesra dengan kitab suci al-quran masih belum terlambat untuk membuat pecutan ibadat pada penghujung Ramadan ini.
Malahan menurut para alim ulama, mereka yang telah bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat, pada penghujung Ramadan ini nafsunya telah menjadi kendur. Jika nafsu itu diibaratkan seperti kuda liar pastinya nafsu itu telah dapat dijinakkan dan telah dapat ‘ditunggang’ kerana kegigihan dalam melaksanakan ibadat dapat menundukkan nafsu yang buas dan liar.
Tanda nafsu yang telah jinak dapat dilihat melalui kebersihan hati kita. Nafsu yang terdidik dapat melahirkan hati yang lembut dan bersinar. Bagaimana untuk melihat hati yang telah bersih? Hati yang baik cantik dan bersih apabila dapat merasa manisnya beribadat kepada Allah. Hati yang baik terpancar melalui akhlak dan perbuatan yang indah seperti bersabar, tidak suka mengumpat, sentiasa bersangka baik dan memiliki sifat-sifat mahmudah. Hati yang baik kerana nafsu yang telah dapat dikawal dapat juga dilihat melalui mudahnya seseorang itu untuk melakukan amal ibadat kepada Allah taala.
Sebenarnya hikmah besar ibadah puasa antara lain adalah untuk mendidik hawa nafsu. Pakej dalam mendidik nafsu adalah melalui empat perkara iaitu Siam (menahan), qiam (mendirikan) al-Quran (membaca) dan sedekah (memberi). Empat unsur ini saling berkaitan dalam kita mendidik hawa nafsu.
Menurut Rasulullah SAW orang yang terbaik adalah orang yang belajar al-Quran atau orang yang mengajar al-Quran. Kedua-dua golongan ini adalah mereka yang mendapat kebaikan Allah SWT. Jarak antara diri kita dengan ketenangan ditentukan oleh jarak hati kita dengan al-Quran. Semakin dekat kita dengan al-Quran semakin harmoni dan tenang hati kita. Semakin jauh kita dengan al-Quran semakin gusar dan gelisahlah hati kita.
Sekiranya kita adalah orang yang sibuk dengan al-Quran bahkan dengan kesibukan membaca, mentadabur al-quran menjadikan kita orang yang tidak punya waktu untuk berdoa nescaya Allah SWT tidak akan lupa untuk memakbulkan permintaan atau doa-doa kita.
Hebatnya al-Quran kerana memiliki kekuatan untuk memakbulkan hajat-hajat kita yang sekian banyak. Sebagai hamba yang daif, kita amat memerlukan belas ehsan Allah SWT untuk memakbulkan segala kehendak kita. Indahnya dengan selalu menyebut ayat-ayat Allah, membaca ayat-ayat al-Quran ianya seperti senjata yang akan melaksanakan hajat-hajat kita.
Al-Quran bukan seperti buku teks pelajaran, sungguhpun kita membaca tanpa memahami isi kandungannya tetapi dengan keberkatan dan kemukjizatan al-Quran itu akan memberi barakah kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Apatah lagi jika membaca dengan kefahaman terhadap intipati isi al-Quran itu sendiri akan lebih memberi nilai kepada kehidupan kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Kami turunkan Al-Quran (Sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, sedangkan bagi orang-orang yang zhalim hanya akan menambah kerugian.” (QS Al-Isra’ : 82).
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Jun 2017