Nikmat Masa dalam Kehidupan Manusia

NIKMAT paling utama dalam kehidupan manusia adalah waktu. Ini kerana bagi sesiapapun masa adalah perkara yang paling berharga dalam kehidupan. Sebab itulah ada banyak peribahasa yang dikaitkan dengan masa seperti ‘masa itu ibarat mata pedang’, ‘masa itu emas’, ‘waktu yang pergi tidak akan kembali’ dan banyak lagi.

Menerusi rancangan Islam itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 10.00 pagi, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata jika ditanyakan kepada sesiapapun akan hal berkaitan masa, jawapan yang diberi pastinya sama iaitu antara perkara yang paling bernilai dalam hidup ini adalah nikmat masa. Ini kerana jika tiada masa, maka tiadalah manusia. Masa tidak akan dapat berpisah dengan manusia kerana setiap manusia yang hidup di muka ini berjalan atas landasan masa atau waktu.

Bahkan masa itu ibarat modal bagi setiap insan. Andainya seseorang peniaga yang mempunyai modal yang banyak tetapi tidak tahu untuk menggunakannya maka ia akan membuat dirinya rugi. Begitu juga bagi seseorang mukmin yang dikurniakan masa setiap saat, minit, jam dan waktu jika tidak tahu menguruskan masa dengan sempurna akan tergolong dalam kalangan orang yang rugi.

Rasulullah SAW mengingati mukmin dengan satu peringatan yang cukup bermakna berkaitan masa dan kehidupan menerusi hadis baginda dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Hadis ini merupakan satu tarbiah bagi mukmin mengingatkan diri agar memanfaatkan waktu dengan melakukan perkara-perkara yang mendekatkan dirinya dengan Allah taala. Bahkan lima perkara yang ditekankan dalam hadis tersebut merupakan kunci penting bagi seseorang mukmin untuk menanam misi dan visi yang jelas supaya dapat mencapai kejayaan bukan hanya di dunia malah di akhirat yang kekal abadi.

Allah SWT mengurniakan manusia dengan 360 sendi atau tulang yang mana kurniaan hebat ini harus ‘disedekahkan’ semula kepada pemilikNya dengan jalan kebajikan dan kebaikan. Setiap hamba yang beriman perlulah membalas semula pemberian Allah ini dengan ucapan zikrullah dan amalan-amalan yang mendatangkan kecintaan Allah kepada hambanya. Sebab itulah para hukamak menganjurkan mukmin melaksanakan solat sunat dhuha sebagai salah satu cara untuk ‘membayar’ semula setiap kurniaan yang Allah berikan.

Hidup ini cukup singkat untuk dibazirkan dengan perkara-perkara lalai yang tidak mendatangkan faedah. Sewajarnya setiap mukmin menggunakan anugerah waktu yang dimiliki dengan membangunkan diri melalui perbuatan yang akan membawanya menghuni syurga Allah taala. Ini kerana jika di dunia ini waktu yang dihabiskan dengan perkara yang sia-sia sesungguhnya akan mendatangkan penyesalan buat selama-lamanya. Allah SWT telah merakamkan sikap mukmin yang membazirkan kurniaan waktu yang diberikan melalui al-Quran surah al-Munafiqun, ayat 9 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” Sesungguhnya mereka yang kurang amal soleh akan menyesal atas perbuatannya. Kekesalan atas setiap kesilapan di dunia ini masih ada waktu untuk memperbaikinya tetapi menyesal di akhirat tidak ada peluang kedua untuk menebusnya. Oleh itu, janganlah menjadi orang-orang yang berada dalam kerugian kerana kesudahan hidup seseorang mukmin itu ditentukan oleh bagaimana dia menguruskan kehidupannya.

Masa yang pergi tidak akan kembali lagi, waktu yang telah ditinggalkan tidak mungkin akan dapat digenggam semula. Hanya yang mampu kembali adalah amal soleh yang telah dilakukan di muka ini. Justeru, buatlah sebanyak mungkin kebaikan kepada manusia dan ibadat yang setaatnya kepada Allah kerana inilah saham yang akan menentukan tempat seseorang mukmin di akhirat kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Januari 2018

\"\"

WhatsApp
Scroll to Top