Nikah Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan tahun 2024

GUA MUSANG, 21 Ogos (IKIM) – Seramai 15 pasangan orang asli telah selamat disatukan dalam Program Nikah Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan tahun 2024. 

Majlis yang berlangsung di Pos Kuala Klah, Gua Musang itu selamat disempurnakan oleh jurunikah Ustaz Muhammad Syukri Jusoh dan Ustaz Kamaruddin Ismail. 

Program ini merupakan salah satu aktiviti memupuk keharmonian dan semangat silaturrahim dalam kalangan orang asli dan masyarakat setempat serta memelihara akidah dan kefahaman Islam yang telah disampaikan dan perjalanan majlis ini turut menjadi sebahagian rakaman mini dokumentari Khaleef Bateq. 

Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istidat Melayu Kelantan (MAIK) ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jabatan Kemajuan Orang asli (JaKOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). 

Program ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Agama MAIK, Tn. Hj. Murtadha Hj. Abdullah ; Pengarah Pusat Media IKIM, Tn. Hj. Ahmad Fuad Mat Ali ; Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan, UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Puad bin Mat Som ; Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Prof. Dr. Ramlee bin Abdullah dan Penghulu Kampung Kuala Lah, Encik Ali Lateh.

Sementara itu, Rancangan Khaleef Bateq merupakan mini dokumentari terbitan TV IKIM di laman web www.tvikim.my yang merakamkan realiti hidup Orang Asli Bateq yang merupakan sebahagian daripada ekosistem hutan. 

Rancangan 30 minit ini akan bersiaran sebanyak empat episod yang akan membawa penonton memahami pentingnya peranan dan tanggungjawab masyarakat untuk mengetengahkan suara kaum Bateq kepada masyarakat umum disamping menyelami budaya, tradisi dan juga cabaran meningkatkan taraf hidup kaum Bateq dengan ilmu serta ajaran Islam demi kelangsungan hidup. 


Rakaman rancangan ini berlangsung di beberapa lokasi orang asli termasuk di Kuala Koh,Kampung Pasir Linggi, Aring 5 dan Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan.

Scroll to Top