DALAM rancangan Bayan Linnas yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Selasa jam 5 petang lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri telah bercerita tentang “Maulidur Rasul SAW sebagai Rahmat Sekalian Alam”. Kelahiran Baginda SAW disambut setiap tahun tanggal 12 Rabiul Awwal di seluruh dunia dan sambutan ini bukan sekadar menzahirkan kegembiraan di atas kelahiran batang tubuh Baginda SAW, tetapi bergembira kerana kelahiran risalah Nubuwwah (maulidur risalah) sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ketika mengulas tentang sambutan maulidur rasul. Kelahiran Nabi SAW ini adalah sebagai rahmat sekalian alam sepertimana mafhum Sabda Baginda SAW, “tidak aku kami utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam” (Al-Anbiya: 40).
Diceritakan bagaimana seorang pedagang Yahudi pada suatu malam telah bersorak girang kerana melihat di langit ada satu bintang yang unik yang mengikut pembacaan dan ilmunya itu menandakan telah lahir seorang nabi akhir zaman. Maka beliau telah bertanyakan sekalian penduduk di Mekah jika ada yang melahirkan bayi pada hari itu, namun tiada seorang pun melainkan Aminah binti Wahab, ibu kepada Baginda SAW. Lalu beliau pergi ke rumah Sayyidatina Aminah dan melihat bayi yang baru dilahirkan itu, melihat jasad mulia bayi itu di tapak tangan dll, termasuk di belakang bayi itu dan melihat terterap cop nubuwwah. Maka yakinlah dia bahawa nabi akhir zaman sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab Taurat dan Injil telah dilahirkan, maka beliau berkata “telah pergilah nubuwwah kepada kaum Bani Israil”.
Nabi SAW pula menyebut “Aku dibangkitkan bagi menyempurnakan akhlak” (HR Al-Bayhaqi). Jika kita perhatikan di sana ada kalimah “menyempurnakan” yang menunjukkan bahawa di sana sudah ada akhlak, namun belum sempurna dan perlu disempurnakan lalu kerana itu Baginda SAW diutuskan. Kalau kita perhatikan, antara akhlak-akhlak yang mulia bagi bangsa Arab sebelum diutuskan Nabi SAW lagi ialah menghormati tetamu. Menghormati tetamu hingga ke hari ini masih kita temui pada masyarakat Arab yang kekal dan tidak hilang walau telah beribu tahun.
Kerasulan Baginda SAW ini adalah bagi membawa rahmat kepada sekalian alam. Tugasan utama ialah membawa manusia daripada penyembahan makhluk kepada makhluk yang lain kepada hanya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah sahaja dan menjauhkan daripada membawa manusia kepada kekufuran. Kedua, adalah untuk menyempurnakan akhlak agar masyarakat menjadi manusia yang mulia dan berakhlak tinggi dan ketiga ialah untuk mendidik dan mensucikan diri manusia.
Baginda SAW juga turut menjadi suri teladan, dan menunjukkan kepada sekalian umat bagaimana untuk beramal dengan ajaran Islam dengan paling sempurna dan lengkap menjadikan Islam itu sebagai cara hidup atau disebut “Islam is the way of life”. Baginda adalah teladan untuk semua golongan, lelaki mahu pun perempuan sepertimana firman Allah SWT yang mafhumnya, “sesungguhnya pada dirimu (Wahai Muhammad) ada suri teladan yang baik kepada mereka orang yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah SWT”. (Al-Ahzab:21). Sunnah mencontohi Nabi SAW bukan terhad kepada kaum lelaki sahaja, tetapi juga kepada kaum wanita, melainkan dalam hal-hal tertentu khusus kepada kaum lelaki sahaja.
Apabila kita bercakap tentang Baginda SAW, Baginda memiliki pakej yang lengkap dengan memiliki empat sifat yang mulia iaitu siddiq (benar) amanah, bijaksana (fatanah), menyampaikan (tabligh) manakala sesentegah ulama memasukkan sifat Ismah (maksum) sebagai salah satu sifat Nabi SAW. Baginda SAW bukan sekadar mengajarkan manusia atau berteori sahaja, tetapi Baginda SAW juga beramal dengan apa yang Baginda SAW ajarkan kepada manusia dan menunjukkan bagaimana untuk beramal dengan apa yang dinyatakan itu.
Sambutan Maulidur Rasul ini disambut di seluruh negara bahkan di seluruh dunia adalah sebagai menekuni dan mencontohi perjuangan Baginda SAW dan mengambil iktibar. Apabila tiba musim Maulidur Rasul, Isra’ dan Mikraj dll., kita anjurkan majlis sambutan untuk menzahirkan kecintaan kita dan seterusnya lebih memahami sirah tersebut, dan mengambil iktibar. Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) ada menerjemahkan dan menerbitkan kitab Sirah Nabawiyah yang amat baik masa kini iaitu Raheeq al-Makhtum karangan Saiful Rahman al-Mubarakpuri, sangat sesuai untuk dibaca dan diulangkaji sirah perjuangan Baginda SAW khususnya di bulan Rabiul Awwal ini, bulan kelahiran Baginda SAW.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Disember 2017