Saidina Said Al-Musayyib

SAIDINA Ibn Umar RA ketika melihat Saidina Said Al-Musayyib RAlantas berkata “Sekiranya Baginda Nabi SAW melihat Ibn Musayyib, nescaya akan menggembirakan Rasulullah SAW.” Kisah mengenai Saidina Said Al-Musayyib dikisahkan oleh Ustaz Muhadir Hj. Joll dalam segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm pada hari Isnin jam 5 petang.

Ibn Musayyib atau nama sebenarnya, Said ibn Musayyib ibn Hazam ibn Abi Wahab al-Makhzumi al-Qurasy. Beliau merupakan seorang tabi’in yang sangat masyhur. Beliau merupakan seorang imam, ahli hadith serta ahli feqah yang terkemuka dan terkenal di Madinah. Saidina Said al-Musayyib lahir pada tahun 15 Hijrah dan beliau sempat melihat ramai para sahabat antaranya Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. Selain itu beliau juga sempat melihat Ummahatul Mukminin antaranya Sayyidatina A’isyah dan Sayyidatina Ummu Salamah. Beliau lahir dua atau empat tahun selepas pemerintahan Saidina Umar.

Beliau merupakan seorang yang sangat kuat beribadah dan tidak pernah meninggalkan solat jemaah selama 40 tahun. Imam Ahmad ibn Hanbal menerusi kitab Imran al-Jauni berkata “Said Al-Musayyib tidak pernah tinggal semua solat jemaah di dalam solatnya selama 40 tahun dan tidak pula melihat leher para jemaah kerana berada di saf hadapan.” Said Al-Musayyib menceritakan “tidaklah muazzin itu melaungkan azannya selama 30 tahun melainkan aku sudah berada di masjid.” Pada satu ketika beliau pernah mengalami sakit mata dan orang ramai menasihati beliau agar pergi ke satu tempat bernama Aqiq untuk melihat kehijau-hijauan agar matanya yang merah dapat kembali pulih dan segar seperti biasa. Kata beliau “sekiranya aku pergi ke tempat yang cantik itu, bagaimana aku dapat menunaikan solat malam dan solat subuh berjemaah.” Beliau takut agar tidak dapat solat berjemaah di masjid sekiranya beliau pergi bermusafir.

Ramai guru yang telah mendidik dan menjadikan Said al-Musayyib seorang ulama yang hebat dan sangat disegani. Imam Al-Zuhri pernah ditanya dengan siapa Said al-Musayyib belajar. Imam Al-Zuhri berkata “beliau pernah belajar daripada Saidina Zaid ibn Thabit dan pernah duduk di dalam majlis ilmu Saad ibn Jubair. Selian dari itu beliau juga belajar dengan Ibn Abbas dan Ibn Umar serta pernah mendengar daripada Saidatina A’isyah dan Saidatina Ummu Salamah.”

Beliau berkahwin dengan anak Saidina Abu Hurairah kerana ingin mengambil keberkatan anak orang soleh dan yang paling utama untuk mempelajari ilmu hadith. Saidina Said al-Musayyib banyak meriwayatkan hadith dan kebanyakan riwayat beliau bersambung dengan Saidina Abu Hurairah. Beliau juga banyak mendengar daripada para sahabat dan merupakan anak murid Saidina Umar. Dikatakan tidak ada siapa yang lebih alim dan lebih tahu daripada Said Al-Musayyib tentang apa yang telah diputuskan dan difatwakan oleh Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Beliau mendapat jolokan “periwayat Umar”. Apa yang disebut oleh Saidina Umar semua dihafalnya dan diketahuinya serta beliau menjadi rujukan orang tentang apa yang dikatakan Saidina Umar mengenai satu-satu perkara. Bidang ilmu menjadi perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada Saidina Said al-Musayyib. Beliau pernah berjalan beberapa hari dan malamnya hanya untuk menuntut satu hadith sahaja. Ketokohan beliau sangat jelas sehingga disebut oleh Imam Kudamah ibn Musa “adalah Said al-Musayyib telah berfatwa dan ketika itu sahabat masih hidup.”

Menurut Muhammad Ibn Yahya Ibn Hayyan “adalah beliau ini orang yang terkedepan dalam fatwa dan beliau adalah faqih di kalangan fuqaha.” Walaupun begitu beliau tidak banyak bercerita tentang al-Quran kerana menurut Yahya Ibn Said “Said al-Musayyib apabila ditanya tentang satu-satu ayang al-Quran, beliau berkata : aku tidak sebut apa-apa kerana aku tidak berani nak berkata sesuatu tentang Al-Quran.” Menurut Imam Al-Zahabi, kerana itulah ssangat sedikit tafsir yang datang daripada Saidina Said al-Musayyib sekalipun beliau menguasai ilmu Al-Quran tersebut.

Walaupun kuat beribadah, namun beliau tidak meninggalkan dunia. Beliau galakkan orang bekerja, berniaga dan cari rezeki yang halal. Beliau seorang yang suka meniaga kain tenun. Dari segi ibadahnya, Said Al-Musayyib menurut Yazid Ibn Hazim merupakan seorang yang sangat suka berpuasa. Menurut Imran Ibn Abdullah Al-Khazza’i “Aku melihat jiwa Said Al-Musayyib lembut, tenang dan lebih ringan daripada lalat.” Begitulah kisah keperibadian unggul dan ketokohan Saidina Said Al-Musayyib yang dapat kita contohi keperibadiannya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Disember 2017

\"\"

Scroll to Top