MUZAKARAH ZAKAT KEBANGSAAN BANTU PERKASAKAN INSTITUSI ZAKAT MALAYSIA

Putrajaya, 6 Jun (IKIM) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Wakaf Dan Zakat (PWZ) USIM, Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) Dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selaku penganjur bagi program Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10 pada hari ini mengadakan perasmian penutupan Muzakarah Zakat Kebangsaan ke-10 yang bertempat di Hotel Everly, Putrajaya.

Program Muzakarah Zakat Kebangsaan pada kali ini membawa tema institusi Zakat dalam membangun Malaysia Madani yang mana memfokuskan penyertaan daripada pengawai-pengawai zakat dan mufti-mufti seluruh Malaysia serta pelbagai perbincangan resolusi dicadangkan dan kemudiannya dilaksanakan kelak oleh agensi yang berautoriti.

Majlis ini turut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Bin Hasan bersama Naib Canselor USIM,Prof Dato’ Ts Dr.Sharifuddin Md Shaarani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof Dato’ Dr Muhammad Tauffik Mohamad Noor; Pengarah PWZ, Prof. Madya Dr Mushaddad Hasbullah dan Pengarah IFAH USIM,Prof.Azman Ab Rahman.

Menurut Zulkifli, zakat berfungsi sebagai perantara bagi mengurangkan jurang kekayaan antara mereka yang kaya dan miskin serta menekankan enam rukun MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan sebagai tonggak utama dan perkukuhkan peranan zakat.

Sehubungan dengan itu, melalui program ini diharapkan institusi zakat dapat memainkan peranan penting dalam menerapkan Rukun Malaysia Madani melalui memupuk nilai sosial bagi membantu mereka yang memerlukan dan mengurangkan jurang sosial dalam status masyarakat serta menarik komuniti Islam untuk terlibat dalam kegiatan zakat.

Sementara itu, program Muzakarah Zakat Kebangsaan ke-10 telah diadakan selama dua hari bermula semalam, 5 Jun 2024 dan berakhir pada hari ini 6 Jun 2024 dan program ini merupakan sebuah program perdana  yang dilaksanakan oleh Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) dan kini diteruskan oleh Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) sejak 2014.

Scroll to Top