MOHD NA’IM MENGADAKAN LAWATAN KERJA DAN TUNAI HAJI DI TANAH SUCI

Sepang, 8 Jun (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar) bersama isteri, Datin Setia Nik Roslini Raja Haji Ismail tengah malam tadi berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan haji sambil mengadakan lawatan kerja bermula hari ini sehingga 20 Jun 2024.

Mohd Na’im berkata fokus lawatan kali ini adalah bagi melihat operasi masyair yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) dan menyantuni para jemaah haji di Tanah Suci.

Baliau berkata untuk penerbangan KT097 jumlah jemaah adalah seramai 284 orang yang akan berlepas pada jam 12.45 tengah malam 8 Jun 2024 dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 04:40 pagi waktu tempatan.

“Setakat ini sudah 93% bersamaan 29,483 jemaah haji Malaysia berada di Tanah suci manakala baki jemaah sebanyak 7% bersamaan 2,117 orang yang masih berada di Malaysia.

“Saya juga akan menginap di ibu pejabat TH di Makkah iaitu di Hotel Abraj Janadriyah bersama-sama Jemaah haji yang lain jadi mudahlah bagi saya untuk menyantuni mereka.

Di samping itu saya memohon rakyat Malaysia sama-sama mendoakan supaya semuanya berjalan lancar dan dimudahkan urusan di Tanah Suci dan saya juga mendoakan kesejahteraan untuk semua yang berada di sini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang malam tadi.

Mengulas lanjut Moh Na’im berkata pihaknya juga menerima jemputan dari kerajaan Arab Saudi untuk menghadiri Grand Hajj Symposium yang bakal berlangsung pada 10 Jun 2024 bertempat di Conference Hall, Makkah Chamber.

Beliau berharap melalui simposium yang dianjurkan ini kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi terutamanya TH, JAWHAR serta Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi terus diperkukuhkan.

Penyertaan kali ini adalah menunjukkan komitmen bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), TH serta JAWHAR dalam memperkukuh sistem pengurusan haji di Malaysia.

Turut bersama dalam penerbangan KT097 ini adalah Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Md Ramzi Ishak.

Scroll to Top