Muslimah Dambaan Syurga

DI antara perkara yang paling indah apabila manusia menghuni syurga ialah apabila mereka dapat bersama-sama pasangan hidup yang sangat cantik iaitu bidadari dan menjalani kehidupan yang sangat membahagiakan di sana kelak. Abdullah bin al-Mubarak menyebut daripada Ibnu Said daripada Rasulullah SAW, isteri kepada penghuni syurga sentiasa di dalam keadaan suci dan tidak didatangi haid, tiada nifas, najis ataupun ludah serta berada di dalam keadaan yang sangat sempurna. Pada ketika itu, Allah meninggikan kedudukan muslimah lebih jauh daripada kedudukan para bidadari syurga, malah secantik 72 kali ganda daripada bidadari. Cantiknya bidadari mempunyai kulit yang putih melepak dan diletakkan di dalam setiap bilik di dalam istana di syurga.

Abu Ahwasy pernah berkata, “Kami mendengar di dalam satu riwayat bahawa segumpal awan akan menurunkan hujan di bawah Arasy. Sewaktu Allah memasukkan ahli syurga, diturunkan awan yang tebal dan daripada titisan-titisan hujan itulah para bidadari diciptakan Allah. Kemudian, masing-masing ditempatkan di dalam setiap bilik di tepi sungai, dengan keluasan kawasan 40 hasta dan khemah tersebut tidak berpintu. Sehingga ketika seorang wali Allah datang ke bilik tersebut yang tidak berpintu itu, kemudian dia mengetahui bahawa mata makhluk apa sekalipun yang melihat mereka, sama ada malaikat atau pelayan syurga tidak dapat melihat mereka di dalam bilik tersebut.” Para bidadari itu dibatasi pandangan pandangan mata mereka daripada segala makhluk lain kecuali lelaki yang menjadi pasangannya di dalam syurga itu.

Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati, turut menceritakan di dalam syurga itu terdapat para bidadari yang mempunyai mata yang bercahaya berkilauan seumpama permata-permata yang bergemerlapan. Muslimah-muslimah di dalam syurga diciptakan Allah dengan secantik-cantik kejadian, sentiasa menjadi perawan yang penuh dengan perasaan cinta dan mempunyai umur yang sebaya serta tidak akan dimamah usia.

Peristiwa yang diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani yang menceritakan seorang isteri Rasulullah SAW yang bernama Ummu Salamah RA, bertanya kepada Baginda siapakah bidadari yang mempunyai mata yang berkelipan di dalam syurga nanti, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Waqiah, ayat ke-22: “Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,”. Kemudian Baginda menjawab, bidadari-bidadari itu mempunyai kelopak mata yang bercahaya, berkelip-kelip seolah-olah burung nasar. Namun Ummu Salamah bertanya lagi kepada Rasulullah tentang firman Allah di dalam surah al-Waqiah, ayat 23: “Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.” Baginda menerangkan, sebenarnya ia bermaksud jernihnya ia seumpama mutiara di dalam laut dalam yang tersimpan di dalam cengkerangnya yang belum pernah disentuh oleh tangan sesiapapun. Lalu Ummu Salamah bertanya kepada Baginda, akan maksud firman Allah di dalam surah al-Rahman, ayat 70: “Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;” dan kemudian diterangkan oleh Rasulullah bahawa para bidadari itu mempunyai akhlak yang baik dan sopan tingkah lakunya. Kemudian Ummu Salamah bertanya lagi apakah maksud seolah-olah para bidadari itu seperti telur yang tersimpan dengan kemas, dan dijawab oleh Baginda, kelembutan para bidadari itu selembut selaput di dalam telur.

Rasulullah ditanya lagi oleh Ummu Salamah berkaitan firman Allah di dalam surah al-Waqiah, ayat 37 yang bermaksud, “Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” Baginda berkata, walaupun para muslimah di dunia sudah menjadi tua dan beruban, tetapi apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga mereka menjadi wanita yang penuh dengan kecantikan, sangat romantik dan kelihatan sebaya seolah-olah lahir pada hari yang sama. Malah apabila ditanya Ummu Salamah sama ada siapakah yang paling utama sama ada wanita dunia atau bidadari syurga, Baginda menjawab wanita dunia jauh lebih utama berbanding bidadari seperti lebih utamanya zahir daripada batin.

Bagi muslimah yang ingin menjadi dambaan di syurga, Baginda berpesan agar mereka memelihara solat dan menjadi di kalangan manusia yang rajin bersujud kepada Allah. Cantiknya muslimah juga adalah kerana puasanya atau ibadahnya sedangkan bidadari syurga tidak melakukan apa-apa ibadah. Manusia diciptakan Allah di antara malaikat dan syaitan, oleh itu manusia yang baik bagaikan malaikat manakala jahatnya manusia seperti syaitan. Oleh itu untuk mengekalkan kebaikan, Allah memerintahkan manusia agar berpuasa dan dengan melakukan ibadah akan menyerlahkan cahaya di wajah mereka. Wanita muslimah lebih utama kerana amalan sedekahnya dapat menghapuskan dosa-dosa mereka.

Di dalam syurga kelak wanita muslimah akan dipakaikan sutera, memiliki warna kulit yang putih, berpakaian hijau yang sangat cantik dengan perhiasan berwarna kuning. Tempat menyimpan perhiasan kesayangan mereka diperbuat daripada mutiara dan memiliki sisir yang diperbuat daripada emas. Mereka akan hidup kekal di dalam syurga dan tidak akan mati menjadi wanita-wanita yang paling bahagia, tidak akan miskin selama-lamanya. Wanita muslimah akan kekal berada di dalam syurga tanpa berpindah-randah dan mereka terdiri di kalangan wanita yang redha dengan ketentuan Allah SWT.

Malahan ketika berada di syurga kelak, wanita muslimah yang memiliki lebih daripada seorang suami ketika hidup di dunia dahulu kerana berkahwin semula selepas suaminya menemui ajal, maka dia berhak untuk memilih pasangannya di syurga di kalangan para suaminya yang terdahulu, iaitu suami yang mempunyai peribadi dan akhlak yang paling luhur. Manusia yang terbaik ketika di dunia, maka mereka juga adalah di kalangan yang terbaik untuk dijadikan pasangan pada hari Akhirat kelak dan sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh manusia yang memiliki akhlak yang paling baik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top