Bukan Kerana Fadhilat Semata

BULAN Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, sehinggakan apa juga ilmu yang disampaikan pada bulan Ramadan mendapat ganjaran pahala yang berbeza dari bulan-bulan lain. Bahkan bagi jiwa dan hati pada bulan Ramadan akan lebih lembut dan mudah menerima ilmu berbanding pada bulan yang lain.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhammad Juoi memulakan bicara dengan kisah para muqarabin yang begitu bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah pada bulan yang penuh kemuliaan ini. Antara kisah yang dapat diambil iktibar adalah sahabat yang bernama Saidina Abu Zarr yang begitu alim dan warak. Saat ditanya apakah waktu yang paling manis dalam kehidupan, Jawab Azu Zarr “Ketika perutku lapar kerana pada waktu itu hatiku menjadi lembut. Ketika waktu sakitku kerana pada waktu itulah dosa-dosaku gugur dan terakhir, ketika berada diambang kematian kerana pada waktu itulah aku dekat dengan Allah kecintaanku”.

Sesungguhnya bagi golongan muqarabin, kematian itu bukanlah perpisahan, tetapi waktu untuk bertemu dengan Allah SWT. Begitulah tradisi orang soleh selalu melihat perbezaan atau kesulitan itu adalah waktu untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Hakikatnya berpuasa adalah waktu untuk menghilang kebiasaan-kebiasaan yang dilakukan agar kita menjadi insan yang luar biasa. Jika pada bulan lain kita adalah manusia yang terlalu bersifat fizikal. Sesungguhnya hakikat manusia bukan bersifat fizikal tetapi lebih bersifat rohani. Manusia yang rohani inilah yang akan menjadi kikta insane yang berjaya dunia dan akhirat.

Puasa adalah bulan tarbiah, bulan pendidikan dan bulan yang banyak mengetuk pintu hati kita yang lembut untuk terus dilentur menjadi insan yang dirahmati Allah. Sebenarnya pada bulan puasa Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang banyak, sehingga Allah sendiri memberi ganjaranNya kepada mereka yang berpuasa.

Kebaikan dan ganjaran yang berlipat ganda ini hanya dihadiahkan kepada hamba yang taat kepada perintahNya. Justeru, bagi mereka yang taat ini Allah SWT memberi ganjaran yang amat besar, namun perkara yang perlu diingat dalam kita memburu ganjaran dan pahala yang Allah SWT yang ditawarkan kepada kita, jangan sesekali ibadah itu dilakukan kerana hanya mahu merebut hadiah atau fadhilat semasa-mata.

Ini kerana seseorang mukmin yang beramal ibadah kerana memburu fadhilat semata-mata dibimbangi nanti setiap ibadah itu tidak akan menjadi amalan yang bersifat istiqamah. Ini bererti amal ibadah itu hanya dilaksanakan di bulan Ramadan semata-mata kerana hanya mengejar fadhilat di bulan puasa sahaja. Sebaliknya, bulan puasa ini adalah sebagai bulan latihan agar ianya berterusan sehingga ke bulan- bulan yang lain juga.

Justeru, setiap manusia jangan sesekali terpedaya dengan nafsu yang sering menipu dan membutakan mata hati dalam kita beribadah. Dengan kata lain, apabila melakukan amal ibadah biarlah dengan niat kerana dilaksanakan untuk pemilik kepada pemberi ganjaran iaitu Allah SWT dengan penuh keikhlasan.

Ini dapat dilihat dari amalan-amalan kita yang contohnya menunaikan umrah di Makkah. Boleh dikatakan apabila tibanya waktu solat fardhu kita akan berduyun-duyun ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat kerana pahala yang besar. Tetapi sayang sekali, apabila pulang ke tanah air kita tidak lagi menunaikan solat secara berjemaah di masjid sebaliknya hanya solat secara sendirian di rumah sahaja. Inilah yang dimaksudkan apabila kita beribadah kerana memburu fadhilat, kita hanya melaksanakan ibadah pada waktu atau situasi tertentu.

Justeru, pada bulan yang mulia ini mari kita mengikuti amalan-amalan orang muqarabin yang meletakkan diri mereka sebagai hamba Allah tetapi bukan hamba Ramadan. Bermakna, bulan puasa ini terus giat dilaksanakan ibadah untuk terus mendapat kecintaan Allah SWT. Bulan Ramadan juga adalah bulan untuk terus memohon pengampunan dan menyucikan diri daripada Allah SWT.

Terbitkan rasa cinta terhadap Allah SWT dengan amal ibadat sehingga kita merasa ‘letih’ melaksanakannya. Namun dalam keletihan itu kita tidak terasa kerana kecintaan dan ketaqwaan itu mengatasi segala-galanya. Jangan dibiarkan Ramadan ini berlalu pergi tanpa terampun dosa-dosa kita dan tidak mendatangkan apa-apa perbezaan kepada diri kita kerana bulan Ramadan itu adalah bulan yang luar biasa. Jadikanlah amalan di bulan Ramadan ini sebagai ubudiyyah kita kepada Allah, dan tanda taat patuh dan kecintaan kita kepadaNya, menjunjung titah perintahNya dengan penuh kerelaan, dan selepas daripda ini pun kita akan terus beramal yang sama dan istiqamah mengekalkan momentum Ramadan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top