KUANTAN, 29 Jun (IKIM) – Inisiatif kebajikan Musa’adah Al-Falah terus diperluas merentas negeri selaras dengan prinsip MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, hormat dan ihsan, sekali gus membawa sinar harapan kepada komuniti akar umbi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Al-Falah 2023–2027, yang merangkumi lebih 30 program merentas lima teras utama termasuk memperkasa institusi pendidikan Islam dan kebajikan ummah.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi manfaat kepada semua penerima, insya-Allah,” kata beliau
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutup Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota 2025 bersempenq Sambutan Maal Hijrah di Masjid Jamek Beserah, di sini hari ini.
Sumbangan keseluruhan berjumlah RM170,000.00 disalurkan kepada pelbagai inisiatif komuniti, antaranya RM60,000.00 300 bakul makanan untuk golongan asnaf; RM30,000.00 bagi menaik taraf tiga buah masjid; dan RM40,000.00 bagi kerja naik taraf lapan buah surau.

Selian itu sumbangan turut merangkumi RM30,000.00 untuk enam buah sekolah agama rakyat (KAFA) dan institusi tahfiz; serta RM10,000.00 bagi bantuan beg dan peralatan sekolah kepada pelajar yang memerlukan.
“Saya amat berharap program ini menjadi pemangkin kepada perubahan ke arah kemajuan dan kecemerlangan, agar institusi agama terus utuh, dan masyarakat terus hidup dalam redha dan keberkatan dari sisi Allah SWT” tambah beliau.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota 2025 berlangsung selama tiga hari menghimpunkan agensi-agensi hal ehwal agama serta program menarik antaranya Indera Mahkota Berselawat; Forum Perdana Ehwal Islam serta Kuliah Zuhur Perdana bersama Ustaz Abdul Somad.
