Mukmin Profesional Dari Surah Al-Mulk

NABI MUHAMMAD SAW pernah bersabda “Ada satu surah di dalam Al-Quran yang mempunyai 30 ayat, akan membantu memberi syafaat kepada orang yang bersahabat baik dengan surah ini, sampai dia diampuni, iaitu : “Tabaarakalladzii biyadihil mulku… (surat Al Mulk)” (HR. Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad).

Disebut oleh Jabir Ibn Abdullah r.a “Nabi tidak akan tidur kecuali apabila Nabi telah membaca dua surah ini, iaitu surah As-Sajdah dan Surah al-Mulk”. Nabi SAW sangat sayang dengan kita. Nabi SAW mahukan umatnya tidur dalam keadaan sebelumnya membaca Al-Quran. Biar kita tidur dan mematkan hari ini dengan membaca Al-Quran. Nabi SAW ingin beri motivasi kepada kita biarlah pengakhiran hari kita sebelum kita tidur adalah dengan membaca al-Quran. Tiada seorang pun daripada kita yang boleh memberi jaminan bahawa kita akan bangun esok hari selepas tidur.

Banyak ibrah yang boleh kita ambil dalam surah al-Mulk yang mempunyai 30 ayat ini. Antaranya surah ini mengajar kita bagaimana untuk menjadi seorang mukmin dalam erti kata hubungan dengan Allah SWT pun kukuh hubungannya. Ketika tidak dilihat oleh insan lain sekalipun ibadah dan hubungan kita dengan Allah SWT tetap utuh dan kukuh.

Surah ini juga mengajar kita menjadi seorang mukmin yang profesional dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.. Seorang mukmin yang benar-benar kuat keimanannya kepada Allah SWT yang akhirnya menatijahkan hubungannya sesama manusia dan alam turut cemerlang. Orang yang solatnya bagus mesti mempunyai kesan terhadap hubungannya kepada manusia dan cara memandangnya kepada setiap ciptaan Allah SWT.

Sebagai seorang mukmin yang profesional, surah al-Mulk ini mengajar kita tiga perkara. Pertamanya sebagai seorang mukmin, dalam setiap perkara yang kita lakukan pastikan kita mengambil perhatian tentang keberkatan kerja. Surah ini dalam kalangan para sahabat turut menyebut surah Tabarak kerana dimulakan dengan perkataan “Tabarak”. Ayat pertama surah ini membawa maksud : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;.

Perkataan “Tabarak” bukan sekadar bererti keberkatan tetapi ia lebih kepada melimpah-limpah keberkatan iaitu berkat yang sangat banyak. Barakah ini perkara yang kita tidak nampak dalam bentuk wang ringgit contohnya barakah ini seperti makanan yang kebiasannya boleh mengenyangkan dua orang tetapi kerana keberkatannya ia boleh menyara dan mengenyangkan 4 orang.

Orang mukmin juga dalam adab pekerjaannya yang sentiasa cemerlang dalam kerjanya perlu sentiasa ingat mati. Ini disebut melalui ayat kedua surah ini yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);.

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir, Allah SWT menyebut amalan yang paling bagus bukannya amalan yang paling banyak. Ini tujuan kita hidup kerana untuk kita melalui satu ujian. Dalam surah ini memberitahu ujiannya ialah siapa antara kita dalam setiap ibadah dan pekerjaan yang kita lakukan kita buat dengan baik. Kuantiti yang banyak belum tentu bagus. Menariknya di dalam ayat ini, Allah SWT menyebut maut terlebih dahulu berbanding hidup. Imam Fakhruddin al-Razi mengatakan antara sebab Allah SWT mendahulukan mati ertinya kerana mati adalah peringatan yang paling kuat agar seseorang melakukan sesuatu pekerjaan dengan kuat sehingga dia penat. Sebagai contoh apabila kita dimaklumkan tentang kematian kita, nescaya kita akan buat ibadah dan kerja kita dengan bersungguh-sungguh. Maka, kita kena sentiasa ingat mati agar setiap kerja kita lebih bagus. Menurt ulama’ lagi, didahulukan mati berbanding hidup kerana selepas mati kita akan ada kehidupan yang abadi yang mana setiap tindakan dan amalan kita di dunia sekiranya bagus akan menjamin kehidupan kita selepas mati itu.

Manakala menerusi ayat ketiga pula memberi motivasi ketiga buat kita agar menjadi seorang mukmin yang profesional. Ayat ini bermaksud : Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?.

Ertinya Allah SWT nak ajar kita orang yang kerjanya bagus, dia boleh melakukan sesuatu kerja itu dengan kuantiti yang banyak dan cepat. Surah ini turut mengajar kita, dalam setiap yang kita lakukan, periksa dan semak kerja kita berulang kali adakah bagus kerja kita atau mempunyai kecacatan sebelum kita persembahkan kepada pelanggan dan majikan kita.

Allah SWT bukan sekadar menciptakan langit bahkan turut menghiasi dan memperindahkan langit tersebut yang boleh kita lihat dalam ayat ini. Muhasabah kembali diri kita, adakah setiap tindakan kita, kita telah lakukan dengan bagus ditambah pula dengan seri pada setiap kerja kita. Bila kita lakukan kerja dengan kita untuk memperindahkan kerja kita, pasti kita akan lakukan kerja kita dengan penuh tekun.

Letaknya diri kita di atas muka bumi Allah SWT pada hari ini, bukan sekadar untuk menikmati segala ciptaannya bahkan lebih daripada itu agar kita menjadi seorang hamba yang bagus dalam setiap tindak tanduk kita, seorang mukmin yang profesional.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 September 2016
\"2016-09-27\"
Scroll to Top