Komunikasi Berkesan Penentu Kebahagiaan

KOMUNIKASI suami isteri adalah hubungan yang berterusan di antara  suami  isteri dalam menjalani kehidupan berkeluarga dan ia merupakan  elemen yang   cukup penting.Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert \’lidah tidak bertulang\’ atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa. Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW ditanya mengenai hal apakah yang paling menyebabkan banyak orang masuk syurga. Rasulullah menjawab : \”Takwa dan akhlak yang baik.\” Kemudian Rasulullah ditanya mengenai apakah yang menyebabkan manusia ramai masuk neraka. Rasulullah SAW menjawab : \”Dua lubang iaitu lubang mulut dan kemaluan.\” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad) Ketika membincangkan tajuk “ Abaikan 10 Perkataan”, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIM pada hari Isnin 10.15 pagi, beliau menegaskan bahawa sekiranya seseorang itu tidak memelihara lubang mulut dan kemaluannya  dengan sebaik mungkin,maka  dia  akan  mudah  terjerumus melakukan perkara –perkara keji dan mungkar.  

Selain itu, menurut Muhammad  dalam institusi rumah tangga,  suami atau isteri perlu  memiliki  ketabahan hati apabila pasangan  mengungkapkan  perkataan –perkataan yang boleh menyinggung perasaan  atau menguji kesabaran. Terdapat  sepuluh perkataan yang  perlu diabaikan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian bagi meredakan  keteganggan. Pertama adalah reaksi spontan. Misalnya, jika isteri meminta sedikit  wang untuk membeli barang keperluan  rumah  dan  kemudiannya suami   memberikan reaksi yang negatif, sekalan-akan merasakan keperluan tersebut telah mencukupi. Maka dalam hal ini, si isteri perlu menggunakan pendekatan yang sesuai. Sentiasa tenang  dan tidak meluahkan rasa marah sewaktu berdepan dengan situasi sedemikian.

Benar, jika perasaan marah atau kecewa sedang menyelubungi anda sekalipun luahkanlah ia dengan perasaan secara beradab kerana ia mencerminkan keperibadian kita. Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Perkataan seterusnya yang perlu diabaikan adalah apabila  ia mempunyai unsur-unsur kemarahan. Pada tahap ini, selain daripada memanjatkan doa  kepada Maha Pencipta, penawar yang paling mujarab    adalah dengan sentiasa memperbanyakkan  zikir, istighfar dan selawat . Dengan kecanggihan  teknologi  pada  masa kini, tiada alasan untuk kita  tidak  melakukan  amalan  mulia ini  yang  sememangnya  dianjurkan oleh Rasulullah SAW .  Hanya dengan sentuhan jari –jemari  sahaja mampu mengakses   dan memuat turun alunan zikir dan selawat yang dialunkan oleh para pendakwah atau penasyid tanah air.  Di samping itu, sekiranya kita yang dimarahi janganlah pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan itu. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang  misalnya mengungkapkan kalimah La Haula Wala Quwwata Illa Billah (tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah). 

Perkahwinan bagi kebanyakan pasangan adalah sesuatu yang suci, indah dan abadi. Secara tidak langsung ada ketikanya pasangan mula meletakkan harapan yang tinggi  antara satu sama lain.  Namun demikian , dalam konteks komunikasi dalam sesebuah institusi keluarga,  tidak semua perkataan yang diucapkan  semuanya indah belaka. Ada juga yang  membuatkan kita berasa kecewa atau sedih. Kehidupan berumah tangga sentiasa terdedah kepada ombak dan badai , bak kata pepatah  “sedangkan lidah lagi tergigit , inikan pula suami isteri”.  Ada yang diuji  dengan pasangan yang merajuk dek kerana sedikit perselisihan faham.Dalam mengahadapi situasi tersebut,   berusahalah sedaya upaya dengan melembutkan hati mereka dengan berbuat  baik.

Kemampuan komunikasi yang baik sangat penting bagi kelangsungan pernikahan yang bahagia. Juga, akan lebih mudah bila kedua pasangan sama-sama tertarik untuk menjadi lebih baik sebagai pasangan.Oleh itu,  dalam perkahwinan ia menuntut pasangan untuk  berkomunikasi secara berkesan . Menggunakan ayat dan perkataan yang baik dan tidak mengahamburkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati pasangan. Nabi Muhammad SAW mengaNjurkan umatnya  agar  sentiasa menjaga  perkataan dan perlu memiliki kematangan  sewaktu kita mendengarkan sebabarang perkataan yang jelek dan melukakan hati.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 September 2016
\"2016-09-26\"
Scroll to Top