Merdeka Memilih

ALHAMDULILLAH, kita baharu saja selesai menyambut Hari Kebangsaan buat kali ke 59.  Kalau seorang manusia, 59 tahun merupakan usia warga emas yang telah lama matang dan berpengalaman luas. Begitu juga bagi sesebuah negara, negara kita sudah mengalami pelbagai episod pahit manis selama ini sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Saban tahun kita diingatkan agar menghargai kebebasan dan kemerdekaan yang dimiliki ini.

Dari segi sisi pandangan hidup Barat, “kebebasan” seringkali merujuk kepada kebolehan melakukan apa sahaja mengikut kemahuan individu tanpa had dan batas dan sekatan. Mahu bertelanjang di pantai, mahu bercumbu-cumbuan di jalanan di depan khalayak ramai, mahu berkahwin sesama jantina semua itu haru diberikan kerana pada mereka itulah maknanya “kebebasan” sebenar dan menunaikan “hak asasi manusia” yang bebas melakukan apa sahaja.

Manakala “kebebasan” dari segi pandangan pakar perundangan pula ialah dengan meletakkan sedikit sekatan iaitu kebebasan individu itu tidak boleh mengatasi kepentingan masyarakat yang lebih ramai. Jika kebebasan itu menggangu kebebasan masyarakat yang lebih ramai, maka kebebasan individu itu terbatal. Tetapi jika masyarakat sendiri tiada halangan maka kebebasan itu boleh diterima pakai. Sebab itu jika di tahun 1960-an dulu , di Barat yang masih ada sisa-sisa berpegang kepada Old Testament, berkesedudukan merupakan suatu kesalahan moral hingga ada pelajar yang dibuang universiti kerana perbuatan tersebut, tetapi kini ianya menjadi suatu perkara biasa dan norma masyarakat Barat. Begitu juga perkahwinan sejenis. Dulu mereka yang suka kepada kaum sejenis dikira menyeleweng (pervert) daripada norma manusia biasa, tetapi kini tuntutan demi tuntutan dibuat agar istilah menyeleweng itu digugurkan dan dikira sebagai fitrah manusia. Kebebasan jika mahu dibataskan dengan undang-undang dan ditentukan oleh kemahuan masyarakat banyak, maka ianya akan tetapi tersasar lama kelamaan apabila nilai-nilai tersebut berubah oleh masyarakat setempat setelah berlalunya zaman.

Sebab itu ajaran Islam menetapkan bahawa kebebasan “hurriyyah” bukan membawa maksud bebas merdeka yang mutlak mengikut hawa nafsu, tetapi bebas kepada memilih yang baik. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika mengulas makna merdeka menyebut bahawa “hurriyyah”  atau kebebasan hendaklah dilihat serentak dengan “ikhtiyar”. Jika “ikhtiyar” itu dalam bahas Melayu membawa maksud berusaha, namun makna sebenarnya ialah berusaha memilih yang lebih “khayr” atau lebih baik.  Jika seseorang hamba itu dibelenggu dan tidak mampu memilih, beliau akan dipaksa makan itu dan ini, dipaksa melakukan apa sahaja yang disuruh oleh tuannya, namun bagi orang yang merdeka beliau diberi peluang yang luas di depannya untuk melakukan apa sahaja yang beliau mahu. Di sinilah ujian bagi seorang yang benar-benar merdeka, adakah beliau mampu membuat pemilihan yang tepat iaitu memilih yang baik atau sebaliknya sedangkan di depan matanya begitu banyak pilihan-pilihan yang ada. Bayangkan seorang yang diberi sejuta wang ringgit, dia boleh membelanjakan wangnya untuk perkara maksiat, atau boleh juga untuk perkara kebaikan, dan amalan soleh. Sebab itu ada sesetengah ulama menyebut bahawa kita dihukum kerana “pemilihan” kita untuk melakukan amalan kejahatan itu bukan sangat kerana “perbuatan” amalan itu.

Bagi orang yang merdeka yang sebenarnya, Prof. Naquib al-Attas menyebut beliau hendaklah sentiasa memilih untuk melakukan perkara yang baik  berdasarkan Syarak, bukan baik berdasarkan pandangan masyarakat kerana ada masanya di akhir zaman masyarakat yang rosak akan melihat suatu perkara baik itu buruk dan buruk itu baik.

Kesimpulannya, jadilah manusia yang benar-benar merdeka iaitu mereka yang memilih untuk melakukan kebaikan berdasarkan neraca agama bukan “kebaikan” mengikut hawa nafsu kerana selama kita mengikut hawa nafsu, kita pada hakikatnya belum lagi merdeka yang sebenar tetapi menjadi hamba hawa nafsu sendiri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 September 2016
WhatsApp
Scroll to Top