MENTERI AGAMA SERU MASJID DAN SURAU JUMAAT LAKSANA SOLAT HAJAT KHAS, ESOK

PUTRAJAYA, 27 Nov (IKIM) – Semua masjid dan surau Jumaat di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk melaksanakan Solat Hajat khas selepas Solat Jumaat esok.

Perkara tersebut diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, sebagai usaha bersama memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah yang berpotensi menimpa negara, termasuk bencana banjir, ribut, kemusnahan harta benda serta segala bentuk ujian yang menimpa masyarakat..

“Semoga ia menjadi medan kita bermunajat, memohon agar dipermudahkan segala urusan pasukan keselamatan, agensi kerajaan serta para sukarelawan yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa terlibat,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan doa agar masyarakat yang sedang diuji diberikan kekuatan, kesabaran dan perlindungan berpanjangan, manakala negara dikurniakan rahmat dan kesejahteraan.

“Semoga dengan ikhtiar doa dan munajat seluruh umat, Allah SWT mengangkat segala kesulitan, menurunkan rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada negara tercinta, Malaysia,” tambahnya.

WhatsApp
Scroll to Top