PUTRAJAYA, 17 Sept (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah kepada rakyat Sabah yang terkesan akibat bencana banjir dan tanah runtuh.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk mengadakan Solat Hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
“Semoga seluruh negeri Sabah segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun ke lapangan membantu agensi pusat dan negeri dalam menyantuni mangsa yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu keyataan turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga keadaan di negeri Sabah segera pulih seperti sediakala serta segala urusan mangsa bencana dipermudahkan.