MENTERI AGAMA KESAL TINDAKAN AMBIL TANAH KUBUR UNTUK ‘BERKAT’

PUTRAJAYA, 29 Jun (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar kesal dengan tindakan segelintir individu yang didakwa mengambil tanah dari pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, seorang mangsa kemalangan ngeri di Jala Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lepas kononnya untuk tujuan mendapatkan “berkat”.

Beliau dalam satu kenyataan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai amat mendukacitakan serta bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni.

“Islam mengajar kita agar menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia dan menghormati kawasan perkuburan. Tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan atau populariti. Ia sebaliknya perlu diziarahi sebagai peringatan kematian, menambah keinsafan dan mendoakan si mati,” kata beliau di laman Facebook, hari ini.

Mohd Na’im turut mengingatkan bahawa tindakan seperti menyapu tanah kubur ke wajah, lebih-lebih lagi jika disertai keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan syirik dan khurafat yang menyanggahi batas-batas syariat.

“Saya menyeru seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat,” katanya lagi.

Beliau turut menyokong tindakan keluarga Allahyarhamah yang menangani isu ini secara tegas dan berhemah, serta memuji usaha pihak berkuasa agama dalam memantau kawasan perkuburan agar tidak disalahgunakan.

Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam merupakan komitmen berterusan kerajaan.

Di akhir kenyataan, beliau menyeru masyarakat agar mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dan memberikan sokongan moral kepada keluarganya yang sedang berdepan situasi menyedihkan ini.

“Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular,” katanya tegas.

WhatsApp
Scroll to Top