SESUNGGUHNYA Rasulullah SAW itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia dan akhlak jugalah yang memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia kerana ia akan mempengaruhi keadaan mereka ketika berada di dalam kubur serta menentu sama ada mereka bakal menghuni syurga atau neraka pada Hari Akhirat kelak. Akhlak yang terbaik terbentuk daripada acuan yang telah ditentukan berdasarkan akhlak Baginda Rasullullah dan tidak boleh dilihat atau dicontohi daripada akhlak yang terdapat daripada manusia lain.
Manusia tidak akan berhenti dilanda ujian di sepanjang kehidupan mereka yang datang sama ada di dalam bentuk kesenangan atau kesusahan. Orang mukmin adalah manusia yang kuat imannya dan ia menjadi bekalan untuk menyiapkan diri menghadapi segala ujian yang mendatang, malah apa jua rintangan yang melanda, mereka akan bergantung kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang merupakan sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik pemberi pertolongan kepada manusia. Oleh itu adalah sangat penting untuk menjaga akhlak yang baik di dalam kehidupan bagi mengelakkan diri dipimpin oleh hawa nafsu kerana akhirnya ia akan membawa manusia ke arah kesesatan.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa tidak ada pemberian yang lebih utama di dalam hidup ini yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya iaitu akhlak yang baik. Ibu bapa perlu memuliakan anak-anak mereka, tidak mendera atau menyakiti mereka, malah ajarkan mereka dengan akhlak yang baik sepanjang tempoh mereka membesar. Ajarkan anak-anak dengan perkara-perkara yang baik, sopan santun dan beradab kerana ia merupakan di antara hak yang perlu ditunaikan oleh setiap ibu bapa ke atas anak-anak selain menamakan mereka dengan nama yang baik-baik yang akan membanggakan mereka pada Hari Akhirat nanti.
Naluri manusia terbentuk melalui empat tabiat sejak mereka kecil lagi sebagaimana pandangan oleh para alim ulama. Tabiat pertama ialah bercakap bohong yang terbentuk di dalam diri manusia sejak kecil, oleh itu ia tidak boleh sama sekali dibiarkan untuk membiasakan diri berbohong kerana ia akan membawa kepada peribadi yang buruk dan menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah. Tabiat kedua yang ada di kalangan manusia ialah suka mencuri yang dipengaruhi oleh tabiat berbohong dan kemudiannya mereka akan mengambil hak dan barang orang lain. Adalah menjadi sesuatu yang mendatangkan bahaya kelak apabila ibu bapa tidak memberi perhatian kepada peribadi anak-anak sejak kecil dan tidak mempedulikan apa yang dimiliki atau dibawa pulang oleh anak-anak di tangan dan di dalam beg mereka.
Selain itu didiklah anak-anak agar tidak dipengaruhi dengan tabiat suka mencaci dan memaki orang lain. Kini, keadaan ini dapat dilihat berlaku dengan berleluasa di media sosial tanpa dapat dikawal, oleh itu jauhilah kalangan manusia yang suka mencaci kerana anak-anak yang terdedah dengan golongan ini akan menyebabkan keras hatinya. Sifat ini akan mudah dipengaruhi anak-anak kerana ia datang daripada contoh yang ada disekeliling mereka dan lebih buruk lagi apabila tabiat ini akan berlarutan sehingga mereka dewasa serta hidup di dalam akhlak yang sangat buruk. Malah tabiat mencaci maki ini juga mudah dipengaruhi anak-anak yang tidak dikawal pergaulannya. Rasulullah SAW menasihatkan umatnya agar tidak mencaci maki muslim lain kerana ia merupakan perbuatan yang fasik, manakala perbuatan membunuh orang Islam akan membuatkan mereka jatuh kafir kerana hak orang Islam adalah bersaudara di antara satu sama lain.
Sebesar-besar perbuatan dosa manusia ialah di kalangan mereka yang melaknat ibu-bapanya sendiri dan keadaan ini juga berlaku apabila mereka mencaci maki ibu-bapa orang lain. Mati di dalam keadaan fasik adalah perkara yang sangat menakutkan, apatah lagi apabila dosa mencaci maki ini berlarutan tanpa henti sehingga kiamat kelak kerana perbuatan itu dilakukan di dalam media sosial dan tidak dapat dihapuskan. Selain itu mereka juga tidak akan selamat daripada dihumban ke neraka kerana doa orang yang teraniaya akibat caci maki yang dilakukan mereka.
Hati yang menjadi keras kerana dosa yang dilakukan akan menyebabkan mereka tidak dapat mengucapkan syahadah ketika menemui ajal kelak, malah berburuk sangka dengan Allah. Oleh itu pentingnya menjaga akhlak agar ia tidak memberi kesan yang buruk kepada hati. Tabiat lain yang memberi kesan kepada anak-anak ialah perbuatan meniru dan terlibat di dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan tanpa batasan. Tabiat suka meniru akan berkekalan di dalam peribadinya dan peringatan oleh Rasulullah SAW supaya tidak meniru golongan musyrik. Jangan sesekali meniru dengan membuta tuli, malah Baginda berpesan agar dibezakan dengan kehidupan orang kafir. Di antara perbuatan yang wajar dilakukan seperti saranan Rasulullah untuk membezakan orang Islam dengan kafir ialah dengan memendekkan misai dan memanjangkan janggut mereka.
Terdapat juga peringatan yang melarang anak-anak tenggelam di dalam kemewahan dunia kerana pada hakikatnya hidup di dunia seharusnya manusia mengejar ganjaran daripada Allah di Hari Akhirat kelak. Malah didik anak-anak supaya tidak terpengaruh dengan hiburan dan muzik-muzik yang melalaikan. Islam sendiri tidak melarang hiburan tetapi seharusnya ia berlandaskan syariah. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa akan tiba suatu ketika zina berleluasa, lelaki memakai sutera dan arak tidak lagi menjadi minuman yang asing kepada manusia, selain mendengar lagu-lagu yang melalaikan mereka. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Baginda bersabda, “Mana-mana orang yang duduk berfoya-foya dengan penyanyi-penyanyi dan mendengar suara lunak penyanyi-penyanyi perempuan itu, Allah akan tuangkan ke dalam telinganya nanti daripada timah-timah tembaga yang cair pada Hari Akhirat nanti.”
Elakkan juga anak-anak daripada meniru perbuatan mereka yang berlainan jantina, iaitu perempuan menjadi lelaki manakala lelaki meniru gerak geri dan menjadi perempuan. Larangan kepada anak-anak juga juga termasuklah daripada melihat perkara-perkara yang terlarang dan diharamkan serta didiklah mereka sentiasa mengingati Allah sepanjang masa di dalam kehidupan mereka.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 November 2017