Imam An-Nawawi

SESEORANG yang baik adalah yang dapat memberi manfaat kepada orang lain yang mana hidupnya dapat diteladani dan akhirnya jadikan kita orang yang mempunyai pedoman dalm hidup. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu jam 5.15 petang  Ustaz Muhadir Hj Joll berkongsi kisah hidup Imam An-Nawawi.

Beliau ialah Imam Mahyaddin Abu Zakaria Yahya bin Sharafuddin An-Nawawi atau lebih dikenali dengan Imam Nawawi. Beliau lahir di Nawa merupakan satu perkampungan kecil di kawasan Hawran, Syria. Nama beliau dinisbahkan dengan Dimasyk kerana beliau berpindah pada usia 19 tahun ke Damsyik. Beliau lahir pada bulan Muharam tahun enam ratus tiga puluh satu Hijrah.

Seorang penulis kitab telah berkata “setiap kali aku menyebut dan ingat akan Imam Nawawi, akan ingatkan aku taufik daripada Allah SWT dan bagaimana Allah SWT telah takdirkan sebahagian orang pilihannya untuk menunjukkan bagaimana penerimaan Allah kepada mereka dan ikhlasnya mereka serta manfaat mereka di atas muka bumi ini kepada seluruh manusia.” Keberkatan hidup Imam Nawawi dibuktikan dengan ramainya umat manusia yang menerima manfaat dengan penulisan kitab beliau. Sekalipun telah ramai ulama dan para ahli hadith telah menulis mengenai hadith empat puluh, namun kitab yng paling masyhur mengenai empat puluh hadith adalah kitab nukilan Imam An-Nawawi. Baginda Nabi SAW pernah bersabda “Allah SWT memuliakn orang yang menulis empat puluh hadith.” Ketika Imam Nawawi mengumpulkan empat puluh hadith yang sebenarnya empat puluh dua hadith, lalu karangannya menerusi kitab “Arba’in An-Nawawiah” merupakan kitab yang paking masyhur dan meluas digunakan serta paling tersebar manfaatnya di muka bumi. Ini membuktikan keikhlasan beliau yang luar biasa. Selain kitab empat puluh hadith, kitab beliau yang lain seperti Riyadus Salihin juga dikenali dan digunakan seluruh dunia. Ini menjadi bukti bahawa karya-karya beliau diterima Allah SWT kerana dapat memberi manfaat kepada umat manusia.

Selain itu, sekiranya kita menyebut mengenai Mazhab as-Syafie, terdapat dua orang syeikh atau alim di kalangan Mazhab Syafie, iaitu Imam An-Nawawi dan Imam Rafi’ie. Ternyata Imam An-Nawawi mendapat tempat di kalangan masyarakat dan sekiranya beliau berfatwa, fatwa beliau akan diambil dan dipegang oleh ulama-ulama dalam Mazhab Syafie.

Menurut anak murid beliau, al-Imam Alauddin ibn ‘Attar “orang yang hanya satu pada masanya dan tunggal did alam zamannya. Seorang yang banyak berpuasa, orang yang berqiamullail, orang yang zuhud di dunia dan inginkan akhirat. Beliau mempunyai akhlak yang terpuji dan alim yang rabbani. Ilmunya, amanahnya, keagungannya, zuhudnya, waraknya dan ibadahnya sesuai dengan perilakunya.” Ketokohannya jelas kelihatan. Beliau selalu melihat keinsafan diri serta prihatin tentang hal muslim yang lain. Beliau juga sentiasa menjaga hak-hak orang muslim dan hak-hak pemimpin.

Ketika beliau berusia sepuluh tahun terdapat satu peristiwa yang menunjukkan kehebatan dan ketokohan beliau. Terdapat seorang alim yang pandai dalam ilmu al-Quran, berusia lapan puluh tahun dan telah dua puluh kali mengerjakan ibadah haji, Sheikh Yaasin ibn Yusuf al-Marakashi. Ketika beliu pergi ke Nawa, beliau lalu dan lihat budak sedang bermain termasuk Imam An-Nawawi. Namun saat itu, Imam Nawawi tidak mahu bermain dengan kanak-kanak lain sambil beliau menangis. Syeikh Yaasin pelik melihat perkara itu lalu bertanya kepada Imam Nawawi. Imam Nawawi katakan beliau menangis kerana takut kepad Allah SWT. Sheikh Yaasin yang pelik dengan perkara itu pergi berjumpa dengan guru al-Quran Imam An-Nawawi dan berpesan kepadanya. Beliau berkata “saya berharap kamu menjaga elok-elok budak ini, mudah-mudahan satu hari nanti beliau menjadi orng yang paling terkenal di zamannya, paling zuhud dan paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.” Berkat peristiwa itu, ayahnya dan gurunya benar-benar memberi perhatian kepada Imam An-Nawawi.

Imam Nawawi bercerita mengenai kisah awalnya menuntut ilmu. Katanya “aku membaca setiap hari dua belas pelajaran daripada guru-guru yang berbeza dengan membaca sambil memahami dan seterusnya membuat syarah sekiranya perlu.” Selain itu, beliau mempelajari ilmu dan adab daripada lebih dua puluh ulama terkemuka. Imam Nawawi mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dn tidak mudah mengeluh sekiranya ujian menimpa beliau.

Beliau ketika hayatnya, sangat memberi tumpuan kepada pencarian ilmu sehingga kurang makan dan minum. Ulama mengatakan “tidak mungkin akan dapatnya ilmu itu dengan berehatnya badan.” Anak murid beliau, para ulama dan orang awam menceritakan mengenai pemakanan Imam Nawawi “Imam An-Nawawi jarang mengumpulkan dua makanan (lauk) dalam satu kali makan. Sekiranya tiada lauk, beliau makan dengan air manis daripada anggur atau tamar, cuka atau minyak. Adapun beliau makan daging setiap bulan hanya sekali. Beliau tidak makan sehari semalam melainkan selepas Isyak dengan hanya makan sedikit. Beliau juga tidak minum melainkan sekali sahaja iaitu ketika sahur kerana menumpukan kepada menuntut ilmu.”

Begitulah kehidupan Imam An-Nawawi, sekalipun dikenali diseluruh pelusuk dunia, namun hidupnya sederhana. Berkat keikhlasannya kepada Allah SWT, penulisan beliau digunakan dan dirujuk sehingga kini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 November 2017
\"\"
Scroll to Top