Mengenali Penghuni Syurga di Dunia

PERNAH suatu ketika sahabat-sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah manusia di atas dunia ini mengenali sama ada di kalangan mereka itu tergolong di antara ahli syurga atau neraka. Baginda mengiyakan pertanyaan itu, disusuli pandangan para sahabat, untuk apakah lagi manusia beramal sedangkan sudah diketahui mereka menghuni syurga atau neraka. Rasulullah SAW menjawab bahawa setiap orang akan dipermudahkan Allah jalan manakah yang menjadi pilihan mereka. Malah sesetengah ulama berpandangan, setiapa kali kedengaran azan, manusia itu sedang memilih sama ada menjadi ahli syurga atau neraka dan sesungguhnya ahli syurga akan bersegera untuk mendirikan solat.
Menerusi perkongsian di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani pada hari Khamis jam 5.15 petang menjelaskan di antara ciri-ciri ahli syurga di dunia ialah orang-orang yang mampu mengawal hawa nafsunya. Daripada Anas bin Malik RA menyebut Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Syurga itu dipagari oleh pelbagai kesusahan dan kebencian. Syurga itu juga di pagari pelbagai syahwat dan keseronokan. Jika kamu ingin menghuni syurga, kawallah hawa nafsumu.” Di dalam kehidupan manusia, jasad mampu dikawal oleh akal, hawa nafsu atau wahyu. Namun tanpa disedari, kehidupan kita dikawal hawa nafsu atau sebaliknya. Orang mukmin mengawal akal dan nafsunya dengan wahyu, iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menandakan golongan ini adalah ahli syurga. Tetapi apabila logik akal digunakan nescaya manusia akan sentiasa mempersoalkan tentang adanya azab kubur, tentang peristiwa israk dan mikraj dan lain-lain lagi perkara yang ada ketikanya tidak dijangka oleh akal manusia.  Islam tidak menuntut manusia agar membuang hawa nafsunya, di atas keperluan tertentu seperti tidur, makan,  minum dan sebagainya tetapi ia mempunyai panduan dan batas-batas yang telah ditetapkan.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menyebut Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, “Ketika mana Allah mula menciptakan syurga, Dia menghantar Jibril ke syurga dan Allah berfirman kepada Jibril: “Lihatlah apa yang telah Aku sediakan di dalamnya untuk penghuninya.” Jibril melihat ke dalam syurga dan kembali kepada Allah dan berkata: “Demi kekuasaan Kamu ya Allah, tidak seorang pun yang mendengarnya kecuali semua perasaaan untuk masuk ke dalam syurga.” Kemudian Allah memerintahkannya untuk memagari syurga dengan perkara-perkara yang dibenci iaitu syahwat, lalu Jibril kembali ke syurga setelah ia dipagari dengan kesusahan perkara-perkara yang tidak disukai. Setelah itu Jibril kembali semula kepada Allah dan berkata: “Demi kekuasaan Kamu ya Allah, aku bimbang apabila aku melihat sahaja keadaan di syurga, tidak akan ada seorang pun yang dapat memasukinya.” Kemudian Allah memerintahkan pula Jibril melihat keadaan di neraka, dan setelah itu Jibril berkata: “Demi kekuasaan-Mu ya Allah, aku bimbang tidak ada yang mahu mendengar tentangnya.” Lalu Jibril diperintahkan untuk memagari neraka dengan syahwat. Kemudian Jibril berkata lagi: “Ya Allah, aku lihat sekiranya manusia mengikut segala nafsu syahwat, nescaya tidak ada seorang pun yang terselamat daripada neraka ini.”
Selain itu, tanda-tanda lain yang dapat dilihat oleh manusia yang bakal menghuni syurga ialah mereka sentiasa di dalam keadaan tawaduk atau merendah diri. Mereka yang semakin tawaduk, semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Sombong diri bukanlah pakaian bagi ahli syurga tetapi sebaliknya ia adalah milik Allah. Daripada Harithah bin Wahab al-Quza’i, dia menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Aku akan memberitahu kamu semua bahawa penghuni syurga adalah semua orang yang lemah dan tawaduk.” Insan yang tawaduk akan banyak berzikir dan zuhud, segala kelebihan yang ada pada dirinya akan dikembalikan kepada Allah dan menganggap ia hanya pemberian yang bersifat sementara. Sekiranya mereka bersumpah, nescaya Allah akan kabulkan permintaannya. Rasulullah bersabda lagi, “Aku akan memberitahu kamu semua, bahawa penghuni neraka adalah orang yang berjalan dengan sombong dan bersikap takbur.”
Sifat ahli syurga yang dapat dilihat di dunia juga termasuk ialah di kalangan manusia yang suka melakukan kebaikan. Mereka membuat perkara-perkara yang baik tanpa perlu diminta untuk melakukannya, dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan walaupun berdepan dengan kesusahan dan halangan. Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Penghuni syurga adalah orang yang kedua telinga dipenuhi dengan pujian manis manusia akan kebaikan yang Allah kurniakan kepadanya, sedangkan dia mendengarnya. Penghuni neraka adalah orang yang kedua telinganya dipenuhi dengan pujian manusia mengenai keburukannya.”
Manusia yang bersifat dermawan adalah di kalangan manusia yang merupakan ahli syurga, mereka suka menginfakkan harta benda ketika hidup di dunia. Jangan sesekali meyakini bahawa rezeki itu adalah milik mutlak seseorang, kerana rezeki itu merupakan kurniaan Allah dan ia juga merupakan satu ujian kepada manusia untuk melihat sejauh manakah rezeki itu digunakan semula ke jalan Islam.
Ciri-ciri lain ahli syurga yang dapat dilihat di dunia ini ialah pemimpin yang adil. Sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah bahawa setiap di kalangan manusia adalah pemimpin dan mereka akan disoal oleh Allah akan tanggungjawab mereka di atas dunia dahulu. Oleh itu berlaku adillah dengan menunaikan hak Allah terhadap diri, tunaikan hak ke atas  ahli keluarga,  malah tunaikan hak ke atas diri sendiri. Sebagai ketua atau pemimpin perlu berlaku adil dan neraca keadilan seharusnya disandarkan kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Jika berlaku percanggahan dan pertelagahan di dalam apa jua urusan di sepanjang perjalanan kehidupan, kembalilah kepada Allah dan Rasul.
Rasulullah SAW menggambarkan penghuni syurga tergolong kepada tiga kumpulan iaitu pemerintah yang adil, mereka yang dermawan dan bercakap benar, serta mereka yang penyayang dan berlembut hati kepada ahli keluarganya. Selain itu, ketika seseorang meninggal dunia dan ramai yang mengganggapnya seperti ahli syurga juga memberikan gambaran atau ciri-ciri dirinya sebagai penghuni syurga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Mac 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top