Mengapa Hati Tidak Tenang

BERADA di taman syurga (majlis ilmu) adalah satu keberuntungan yang datang daripada Allah SWT kerana insan-insan ini Allah janjikan ketenangan hati kepada mereka. Realiti kualiti kehidupan manusia hari ini, peroleh ketenangan teramat mahal dan sukar. Menyedari hakikat itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi Rabu lalu menekankan peripenting mencari sumber ketenangan hati di akhir zaman ini saat manusia diserang ujian dari pelbagai sudut dan sisi.
Hasil dapatan satu kajian ke atas remaja yang di jalankan pada tahun 2016 didapati satu daripada lima remaja mengalami masalah mental. Punca masalah ini berkait rapat dengan ketenengan yang diragut dari hati. Situasi lebih membimbangkan lagi apabila satu kajian lain menjangkakan menjelang tahun 2020 pesakit mental ini akan menduduki tempat kedua tertinggi dalam kategori penyakit-penyakit kronik di Malaysia.
Fitrah kehidupan manusia, lebih memberi fokus kepada kesenangan berbanding ketenangan. Kesenangan pada kuantiti harta terlalu di ambil berat sedang kualiti ketenangan jiwa di pinggir ketepi. Kelihatan mantap dengan kereta mewah jauh lebih utama daripada memantapkan ketauhidan padaNya. Rumah dan pakaian terkini lebih dipandang serius sedang iman terus lintang-pukang. Sifat-sifat mazmumah menjadi lebih mudah daripada yang mahmudah. Justeru, usah ditanya mengapa hati terusan galau, jiwa dihimpit risau dan sanubari menerawang sasau.
Ironinya, secara jujur kebanyakkan masa, tenaga dan kebimbangan dicurah untuk memburu kuantiti harta. Ia adalah reflaksi semaian  yang bakal di tuai hasil nanti. Saat benih keburukan di semai, maka bersedialah untuk menuai produk akhirnya nanti. Oleh itu, berhentilah dari terus menabur benih yang kurang manfaat apatah lagi yang membawa mudarat agar diri tidak terpingga apatah lagi menyesal saat melihat hasil yang bakal dipetik dan di makan ketika tiba waktu ranumnya.
Dalam konteks mencari ketenangan ini, bukan bermakna meminggir kesenangan. Namun, dari sudut keutamaan perlu diletakkan seadilnya dalam diari perjalanan kehidupan. Menjalani hidup dalam kesenangan tanpa ketenangan umpama tinggal di rumah yang besar tetapi tetap hidup serasa sempit dan menghimpit. Acapkali kesenangan disinonimkan dengan harta, kuasa dan rupa, hakikatnya ia bukanlah kayu ukur sebuah ketenangan.
Satu ungkapan hikmah yang terkenal menukilkan manusia mampu membeli makanan yang sedap, tetapi tidak boleh membeli selera. Manusia juga boleh membeli tilam yang empuk, namun tidak mampu membeli tidur yang lena. Sungguh, hampir mustahil seseorang mampu membeli ketenangan menerusi kesenangan.
Ketenangan dalam diri akan hilang disebabkan manusia tersasar daripada tujuan asal kewujudannya di atas muka bumi iaitu untuk mengabdikan diri beribadah kepada Allah sebagai hambaNya yang baik (soleh)  dan menjadi khalifah, wakil yang memberi kebaikan kepada yang lain (musleh). Ia menepati firman Allah SWT mafhumnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz Dzariyat, ayat 56).
Buya Hamka sinis berpesan, “kalau hidup sekedar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekedar bekerja, kera di hutan juga bekerja”. Natijahnya, jika  kehidupan di dunia ini tidak didasari dengan prinsip yang telah ditetapkan selayaknya, maka manusia itu sedang menempah kehinaan yang akhirnya menjerumuskan mereka ke jurang derita.
Dari Nawas bin Sam’an, Nabi SAW  bersabda yang bermaksud: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan kejelekan (dosa) adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa. Ketika kejelekan tersebut dilakukan, tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”
Dosa itu meresahkan hati. Saat melakukan dosa, ia adalah derhaka kepada Allah dan gagal menjadi khalifah yang baik. Justeru, jika menghadapi kekacauan hati. Usah pergi jauh untuk menilik penawarnya, cuba audit kondisi hati.
Walau dosa menjadi asbab hilang tenang dalam jiwa, namun syukurilah jika masih wujud sekelumit resah kerana itu petunjuk hati masih hidup dan masih bisa memberi isyarat Allah memanggil untuk taubat. Maka, berhentilah dari dosa, sesalinya dan kembali kepada Allah secara menyeluruh. Berdukalah jika hati rasa biasa dengan dosa apatah lagi merasa manis dan nikmat dengan dosa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Februari 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top