Memaknai Nuzul Al-Quran

MEMASUKI fasa akhir Ramadan, sebaiknya kita muhasabah diri mudah-mudahan kita semua dapat terus melihat kepada prestasi ibadah kita. Sejauhmana kualiti ibadah puasa kita di siang hari dan sejauh mana kita menghayati dan membaca Al-Quran di sebelah malam Ramadan. Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi ibrah bagaimana kita dapat menghayati kisah di sebalik nuzul Quran menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Isnin minggu lalu jam 5.15 petang. Menerusi Ramadan, kita memberi makna kepada Ramadan itu sendiri dengan beribadah malamnya menerusi solat Terawih dan sekaligus kita dapat menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran melalui pembacaan surah oleh para imam ketika terawih. Kita berhadapan dengan pelbagai surah dan kita dapat menghargai kelainan cara Allah SWT menyantuni kita menerusi 114 surah-surahNya.

Mudah-mudahan pada malam Ramadan, kita dapat merasai satu kesyukuran atas anugerah petunjuk yang Allah SWT beri menerusi al-Quran. Sebab itu, Lailatul Qadar yang ganjarannya lebih baik daripada seribu malam disebut dengan perkataan ‘lailah’ yang membawa maksud malam. Perkataan malam ini membuktikan bagaimana Allah SWT memuliakan malam tersebut dengan penurunan Al-Quran daripada Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit yang pertama.

Harapan kita agar Ramadan yang telah lebih separuh kita tinggalkan ini, kita dapat capai kedua-dua objektif siang dan malamnya. Dibimbangi kita hanya dapat menahan lapar dan dahaga semata-mata di siang hari sebaliknya prestasi pembacaan al-Quran kita tidak berubah daripada sebelumnya. Sekiranya berlaku sedemikian, kembali bergegaslah kita kepada landasan yang betul agar kita menjadi hamba yang bersyukur ketika Ramadan. Sepatutnya, jadikan Ramadan sebagai kayu ukur kita dalam menilai sejauhmana tingkat dan prestasi pembelajaran al-Quran. Sebaiknya proses pembelajaran al-Quran kita meningkat ketika bulan Ramadan dan bukannya berada di takuk yang lama.

Bagi kita menghargai dan mengenang peristiwa nuzul Quran, bukan dengan sekadar kita memperingati peristiwa tersebut tetapi jadikanlah nuzul Quran sebagai medan kita untuk melihat di manakah letaknya diri kita di dalam Al-Quran. Adakah kita benar-benar ambil tahu dan faham ilmu-ilmu al-Quran. Salah satu cara kita menyambut dan memperingati nuzul Quran, adalah dengan kita memahami isi kandungan al-Quran yang diturunkan. Bagi memahami sudah semestinya kita perlu belajar dengan ustaz tentang apa yang disebutkan di dalam al-Quran. Bahasanya juga perlu kita hayati dan oleh itu janganlah jadikan bahasa Arab sebagai musuh kita agar kita benar-benar dapat menghayati dan memahami isi kandungan al-Quran. Ertinya, apabila berlalu sahaja Ramadan kita bukan semata-mata meraikan kegembiraan dengan berhari raya, sebaliknya kita juga komited dengan program-program pembelajaran al-Quran yang telah kita lalui sepanjang Ramadan.

Seseorang yang belajar al-Quran bukan sekadar tajwid dan tarannum semata-mata tetapi belajar al-Quran dengan seribu persoalan. Sebagai contoh, apabila kita membaca setiap ayat daripada surah-surah Al-Quran, mungkin timbul persoalan di fikiran kita ‘apakah itu surah?’.Ini baru sebenar-benar belajar ilmu al-Quran.

Satunya, mesti ada sebab kenapa disebut dengan surah dan diasingkan surah-surah ini kepada 114 surah. Surah yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi Surah Al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud : Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan (al-Quran) kepada kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah SWT, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Surah berasal daripada perkataan ‘sur’ yang bererti tembok yang dibina. Apabila Allah SWT menggunakan perkataan sur untuk menyatakan surah itu menggambarkan betapa benteng itu tebal dan tinggi. Ertinya, tembok ini terlalu berharga untuk dipelihara dan mesti dilindungi daripada sesiapa. Dinamakan surah agar kita menganggap setiap surah ini sebagai satu kawasan peribadi yang berbeza-beza.

Setiap surah ada perbezaan. Sayyid Qutb menyebut, apabila kita berkomunikasi dengan al-Quran kita perlu tahu setiap surah dibuat ada tujuan. Setiap tembok yang dibina pasti ada tujuan yang berbeza-beza dengan tembok yang lain.  Cabaran buat kita dalam membaca dan mendalami ilmu al-Quran, kita perlu tahu terlebih dahulu apa tujuan sesuatu surah.  Dalam kita menghayati erti sebenar nuzul Quran, mari kita renungkan kata-kata Ibn Umar “Sungguh kami hidup begitu lama di satu zaman kami diberikan iman sebelum al-Quran, tetapi telah datang selepas kami satu zaman di mana seseorang diberikan al-Quran sebelum iman”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Jun 2016
Scroll to Top