Memakna Lebaran Dengan Ziarah

MUSTAHIL untuk kembali ke 1400 tahun lampau untuk hidup bersama Baginda Nabi SAW, tetapi tidak mustahil membawa Rasulullah SAW ke dalam kehidupan di abad ke-21 ini dengan meneladani setiap Sunnah Baginda. Memanfaatkan kehadiran Ustazah Halimah Alaydrus yang merupakan seorang  pendakwah dari bumi Jakarta ke Malaysia baru-baru ini, IKIMfm telah menerbitkan program khas bersama beliau bersempena Aidilfitri yang bertemakan Fitrah Aidilfitri. Segmen itu mengetengahkan tunjuk ajar Rasulullah SAW saat merai lebaran termasuklah tatacara ziarah menziarahi.

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah  menjawab, “Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” (Muttafaqun ‘Alaihi).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).  Selaku tuan rumah, terima tetamu dengan hormat serta memuliakannya. Tampilkan perasaan berlapang dada dan mengalu-alukan kehadiran tetamu dengan senyuman di wajah yang ceria kerana kehadiran tetamu adalah suatu rahmat daripada Allah SWT.  Dikatakan oleh Abu Hurairah ra. bahawasannya Rasulullah SAW bersabda : “Wahai sekalian manusia, janganlah kalian membenci tamu. Karana sesungguhnya jika ada tamu yang datang, maka dia akan datang dengan membawa rezekinya. Dan jika dia pulang, maka dia akan pulang dengan membawa dosa pemilik rumah.”

Pasak niat yang baik serta mengharap pahala saat menerima kunjungan tetamu menerusi makanan yang dihidang serta sambutan yang baik terhadap mereka. Begitu juga kepada tetamu, hendaklah meniatkan pahala daripada mendatangi undangan tersebut. Dengan demikian, kedua-dua belah pihak akan mendapat pahala atas aktiviti ziarah-menziarahi dan saling berkunjung itu.

Lazimnya, Aidilfitri menjadi asbab pintu rumah di buka untuk menerima tetamu pada bila-bila masa sahaja. Namun, sebagai tetamu pilihlah waktu yang tepat untuk berziarah dan sebaiknya memaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah agar mereka dapat bersedia dengan lebih sempurna. Bagi tetamu, penting untuk menjaga adab-adab beristi’dzan (meminta izin) supaya terhindar daripada hal-hal yang bertentangan dengan akhlak Islami. Etika dan adab ini bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.” (Surah An-Nur, ayat 27).

Di antara adab-adab yang perlu dijaga adalah dengan mengetuk pintu sebanyak tiga kali. Jika tidak ada jawapan, maka hendaknya ia pergi sepertimana firman Allah mafhumnya: “Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu Kembali (saja)lah, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah An-Nur, ayat 28).

Ketukan pula tidak terlalu kuat yang boleh membuatkan tuan rumah terkejut. Seterusnya, memperkenalkan diri dan elakkan daripada memandang tepat ke pintu. Ucapkan salam sebelum masuk dan jaga pandangan semasa di dalam rumah.

Bak kata orang tua-tua, layanlah tetamu umpama raja dan hidangkan apa yang ada semampunya. Melayani sendiri tetamu merupakan satu adab yang dianjurkan dalam al-Quran, sebagaimana dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian ia masuk menemui keluarganya serta membawanya keluar seekor anak lembu (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakan makan.” (Surah al-Dhariyat, ayat 26–27). Sediakan jamuan mengikut kemampuan dan elakkan pembaziran. Nabi berpesan, hendaklah makan bersama-sama dengan tetamu kerana di situ terdapat keberkatan dan mengelakkan tetamu segan makan bersendirian.

Akhir sekali, hantar tetamu yang ingin pulang sehingga ke muka pintu. Ia sebagai tanda memuliakan dan mengormatinya. Abu ‘ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita: “Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku. Aku berkata: “Jangan susah wahai Abu Abdillah.”  Beliau mengatakan bahawa: “Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu hingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya”. Seeloknya, tunggu seketika di ambang pintu rumah sehingga tetamu berlalu pergi atau kenderaannya sudah bergerak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Julai 2016
\"2016-07-15\"
Scroll to Top