MANHAJ SYEIKH DR. YUSUF AL-QARADHAWI PERLU DIHAYATI DALAM MEMACU PEMBANGUNAN MALAYSIA MADANI

KUALA LUMPUR, 24 September (IKIM) – Manhaj Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam memperkasakan umat Islam amat penting dihayati oleh umat Islam terutama para pendakwah dan pendidik masyarakat dalam konteks bagi memacu agenda Membangun Malaysia Madani. 

Manhaj Syeikh al-Qaradhawi dalam aspek pengislahan dan pembaharuan umat telah diperakui oleh para ulama dan ilmuwan semasa di mana ia mengandungi huraian tasawwur Islam yang jelas dan sepadu, pendekatan yang sederhana (wasatiyyah) dalam kefahaman dan tindakan serta memiliki gabung jalin yang harmoni antara warisan keilmuan masa lalu dan masa kini demi menangani cabaran serta keperluan ummah semasa.


Dalam ucapan perasmian Seminar Fikrah Madani : Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi “Penghayatan Manhaj Islah dan Tajdid Dalam Pemerkasaan Umat”, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar turut berkongsi harapan agar Seminar Fikrah Madani ini akan menjadi satu pencetus kepada kelahiran sebuah gelombang ilmiah dalam membentuk fikrah madani masyarakat negara kita. 

Beliau turut menambah, perkara ini adalah antara hal utama yang sering dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri, di mana beliau melihat permasalahan utama sedang dihadapi oleh umat Islam di negara kita ialah persoalan kedangkalan ilmu dan kecerdasan fikrah yang kian tumpul.

“Saya melihat kepentingan amat besar pada seminar ini sebagai cetusan bagi kita menggerakkan gelombang kecerdasan akal yang kukuh masyarakat berpandukan fikrah Madani yang diperakui dan berwibawa,” kata beliau. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dr. Muhamad Razak Idris, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Seminar sehari yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan itu turut membincangkan antaranya ‘Daulah Islamiyah : Kefahaman, Kerangka dan Ketentu-ukurannya Menurut Fiq Al-Daulah Dr. Yusuf Al Qaradhawi serta ‘Keutamaan Semasa Umat Islam Berdasarkan Neraca Fiqh Awlawiyat Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. 

Seminar tersebut turut dihadiri oleh Dato’ Ahmad Azam Ab. Rahman, Preseiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH); Prof. Datuk Dr. Muhamad Nur Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI); dan Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM. 

Majlis anjuran WADAH dengan kerjasama agensi-agensi hal ehwal agama itu turut menyaksikan peluncuran buku penerbitan Siri PertamaBimbingan Pengukuhan Fikrah Madani. WADAH, IKIM dan YAPEIM terlibat secara langsung dalam menyelenggara buku ini yang turut diedarkan secara percuma kepada peserta yang hadir. 

Scroll to Top