KUALA LUMPUR, 20 Feb (IKIM) – Malaysia sekali lagi menerima sumbangan menerusi Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Suci sebagai simbol hubungan erat antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam ucapannya berkata hubungan kedua-dua negara terjalin atas dasar akidah, nilai bersama serta kerjasama berterusan khususnya dalam pengurusan haji dan umrah.
Bagi tahun 2026 bersamaan 1447 Hijrah, Malaysia menerima tiga kotak al-Quran bersaiz besar, tiga kotak bersaiz sederhana, tiga kotak al-Quran terjemahan serta sepuluh kotak kurma untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Program berkenaan turut melibatkan majlis iftar yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,800 penerima, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan kepedulian dalam bulan Ramadan.
Dr. Zulkifli turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud atas komitmen berterusan membantu umat Islam di seluruh dunia.

Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan sabda Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang memberi makan kepada orang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang tersebut.
Program ini mencerminkan semangat solidariti dan persaudaraan Islam sejagat serta memperkukuh lagi hubungan dua hala Malaysia–Arab Saudi dalam memperkasa kebajikan umat.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.




