MAIWP SEDANG BEKERJASAMA DENGAN JAWI BERKAITAN TINDAKAN TERHADAP GISBH

KUALA LUMPUR, 16 September (IKIM) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengenai tindakan penguatkuasaan yang sesuai dan yang boleh dikenakan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISBH) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) atau apa-apa perundangan yang lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata MAIWP mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 505) untuk membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara berhubungan dengan agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan kecuali perkara yang menyentuh Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran kehakiman Syariah.

Kenyataan itu merujuk kepada isu GISBH yang telah dikaitkan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Al-Arqam iaitu kumpulan yang pernah difatwakan sebagai mengamalkan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam melalui penyiaran fatwa dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Mei 2007. 

MAIWP dalam pada itu sentiasa komited untuk bertindak dan juga sedia membantu agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri dalam menangani isu yang menyentuh dan melibatkan GISBH ini.

WhatsApp
Scroll to Top