MADRASAH RAMADAN MEMPERTEGUH PERISAI KESABARAN DALAM KEMAAFAN

Ketika Ramadan, umat Islam dituntut untuk bersabar dalam menahan lapar dan dahaga juga daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa ketika menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Berpuasa menjadikan kesabaran itu perisai kepada umat Islam daripada melakukan perkara-perkara yang membinasakan sendiri.

Oleh itu, perisai kesabaran ini hendaklah tidak dikompromikan selepas berakhirnya bulan Ramadan pada saat kita bergembira dengan kedatangan Syawal. Sebaliknya, perisai kesabaran yang dipasak ketika Ramadan itu, hendaklah diperteguh untuk bulan-bulan selanjutnya. Hal ini bagaimanapun, bukanlah bermaksud umat Islam hanya berdiam diri sekiranya ditindas atau melihat kemaksiatan yang jelas di hadapan mata. Sebaliknya, kita dituntut untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan perisai kesabaran menjadi benteng di antara menentukan tindakan yang betul dengan tindakan yang tidak betul.

Pada bulan Syawal, perisai kesabaran ini diperteguh dalam konteks menjernihkan hubungan kekeluargaan yang keruh, yakni ketika meminta dan memberi maaf. Mengakui kesilapan diri dan meleburkan ego memerlukan kesabaran yang sangat tinggi daripada individu yang berkenaan. Ini kerana, kesilapan dilakukan oleh semua manusia—bukan hanya dilakukan oleh rakyat jelata, anak-anak, isteri dan orang-orang yang lebih muda. Sebaliknya pemimpin, ibu bapa, suami dan orang lebih tua juga melakukan kesilapan yang ada kalanya membawa kepada perseteruan yang berpanjangan disebabkan oleh sifat ego yang menguasai diri.

Dalam Islam, orang yang bersalah seharusnya memohon maaf daripada orang yang dizalimi atau dianiaya. Tidak timbul orang yang melakukan kesalahan, hanya bersalah kepada Allah SWT dan orang dianiaya tidak berhak mendapatkan kata-kata maaf dari si pesalah. Dalam Islam, selain menjaga hubungan dengan Allah SWT (hablumminallah), kita juga dituntut untuk menjaga hubungan sesama manusia (hablumninnas). Dosa kesalahan terhadap orang lain boleh terangkat dengan kemaafan daripada pihak yang dizalimi sekalipun “maaf” itu tidak terucap dan juga melalui taubat serta memohon bantuan daripada Allah SWT sekiranya usaha-usaha memohon maaf tidak berhasil.

Memberi maaf ialah hak individu kerana orang yang dizalimi dan teraniaya itu berhak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi. Bagaimanapun, keutamaan dalam Islam adalah untuk memberi maaf dan menjernihkan keadaan yang keruh. Nabi Muhammad SAW ialah contoh kepada umat Islam sebagai seorang yang pemaaf. Walaupun ditawarkan oleh Malaikat Jibrail untuk membalas perbuatan penduduk Thaif yang melemparkan batu sehingga Baginda berdarah ketika berdakwah, Baginda SAW sebaliknya berdoa kepada Allah SWT untuk mengampuni penduduk Thaif itu.

Bagaimanapun sebagai seorang manusia, ada kalanya sukar bagi seseorang itu untuk melupakan suatu perkara, lebih-lebih lagi ia amat pahit apabila dikenang. Kisah Nabi Muhammad SAW yang memalingkan wajahnya daripada Wahsyi bin Harb al-Habsy setelah Wahsyi mengucap dua kalimah syahadah dan menceritakan bagaimana dirinya membunuh bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Mutallib dalam peperangan Uhud.

Pembunuhan Hamzah sangat memilukan Baginda Rasulullah SAW. Namun keimanan Wahsyi kepada Allah SWT selepas peristiwa itu menyebabkan Baginda tidak membalas perbuatannya. Wahsyi bin Harb al-Habsy juga menerima permintaan Nabi SAW untuk tidak berjumpa dengan Baginda SAW dek kepiluan itu. Beliau bagaimanapun tetap teguh dengan keimanan kepada Allah SWT dan membuktikan kecintaan kepada agama dengan berjaya membunuh nabi palsu, Musailamatul Kazzab.

Dalam Islam, orang yang memberi maaf dekat kepada sifat takwa. Sedang takwa itu adalah antara sifat tertinggi orang-orang yang beriman. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran: 133-134).

Sementelah umat Islam di Malaysia melazimi sambutan Aidilfitri dengan bermaaf-maafan, maka di sinilah kesabaran yang tinggi dituntut kepada semua dalam usaha untuk menjernihkan keadaan yang keruh. Sesungguhnya, inilah keindahan kepada budaya bermaaf-maafan pada hari raya, walaupun sebenarnya ucapan maaf yang disertai kekesalan itu hendaklah diucapkan sebaik sahaja kita melakukan kesalahan dan kesilapan.

Bagaimanapun, budaya memohon dan memberi maaf ketika hari raya memberi motivasi dan kekuatan kepada individu untuk meleraikan segala kekusutan. Sebagai orang yang lebih tua atau ketua keluarga, perisai keegoan yang menebal disebabkan status diri hendaklah diganti dengan perisai kesabaran dalam meminta maaf dan memberi maaf.

Manakala bagi orang-orang yang lebih muda dan orang-orang yang dipimpin dalam keluarga pula hendak meningkatkan kesabaran untuk berlapang dada meminta maaf dan memberi maaf sekalipun ia tidak diungkap oleh si pesalah. Mudah-mudahan dengan “mengalah” itu benteng keegoan dapat dipecahkan, dan hubungan kekeluargaan kembali jernih.

Mengucap dan memberi maaf juga tidak semudah menyebutnya secara lisan. Sebaliknya ia datang dari lubuk hati yang paling dalam. Meminta dan memberi maaf akan kesalahan orang lain adalah demi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Sesungguhnya Ramadan yang telah berada di penghujung ini hendaklah kita pasaklah dalam diri sebagai madrasah kepada amalan baik untuk diteruskan ke bulan-bulan yang selanjutnya. Satu daripadanya ialah dengan meneguhkan perisai kesabaran dalam memohon dan memberi maaf kepada orang lain.

Artikel ini telah ditulis oleh Puan Nur Syahidah binti Abdul Jalil, Felow di Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS) IKIM

WhatsApp
Scroll to Top