JADIKAN AIDILFITRI TITIK PERMULAAN KEPADA PERUBAHAN DIRI DAN MASYARAKAT

Allah SWT mensyariatkan Ramadan bukan sekadar untuk umat Islam menyempurnakan ibadah puasa, tetapi manusia perlu memahami bahawa Ramadan ialah sebagai hadiah untuk mereka melakukan transformasi diri dan hati agar dapat memenuhi tanggungjawab penting sebagai khalifah di muka bumi. Berakhirnya Ramadan pula bukan hanya menandakan bermulanya bulan Syawal yang lazimnya disambut meriah oleh seluruh umat Islam, bahkan Syawal yang sering disebut sebagai bulan kemenangan merupakan manifestasi perjuangan diri insan menundukkan hawa nafsu, memenuhi tuntutan-tuntutan ibadah serta perjuangan memperolehi keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.

Manusia diingatkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berkenaan golongan yang mensia-siakan peluang mendapatkan keampunan  dalam bulan Ramadan: Daripada Jabir bin ʿAbdullah r.a., bahawa Nabi SAW menaiki mimbar, ketika Baginda melangkah anak tangga yang pertama, Baginda menyebut:“Amin,” kemudian apabila melangkah anak tangga yang kedua, Baginda menyebut: “Amin,” kemudian apabila melangkah anak tangga ketiga, Baginda menyebut: “Amin.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasullullah, kami mendengar engkau menyebut amin sebanyak tiga kali.” Baginda menjawab: “Ketika aku melangkah anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: ‘Celakalah seseorang hamba yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya.’ Lalu aku pun menyebut: ‘Amin.’ Kemudian Jibril berkata: ‘Celakalah seseorang hamba yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga.’ (kerana tidak berbakti kepada ibu bapanya). Aku pun menyebut: ‘Amin.’ Kemudian Jibril berkata: ‘Celakalah seseorang hamba yang nama engkau (iaitu nama Rasullullah SAW (disebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau.’ Aku pun menyebut: ‘Amin.’”

Justeru, kita harus jadikan pengakhiran Ramadan sebagai satu waktu untuk melakukan penilaian kepada usaha dan keikhlasan kita dalam memanfaatkan peluang dan ruang yang diberi oleh Allah SWT dalam membuat perubahan yang diperlukan. Namun, dalam keghairahan meraikan sambutan Syawal, adalah penting untuk kita juga meneliti makna Syawal pada diri dan juga kepada masyarakat sekeliling. Pada kebiasaannya, persiapan menyambut Aidilfitri lebih sinonim dengan kesibukan kita membeli-belah menyediakan persiapan raya dan perjalanan balik kampung untuk bersama sanak-saudara. Keghairahan ini juga menyebabkan ramai yang alpa akan kelebihan yang ada pada malam-malam akhir dalam bulan Ramadan sedangkan tempoh akhir ini perlu menjadi kemuncak kepada amal ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan.

Aidilfitri meupakan hadiah kemenangan bagi hamba Allah yang berjaya menakluk hawa nafsunya sepanjang bulan Ramadan. Ini bertepatan dengan makna “Aidilfitri” dari segi bahasa yang bermaksud “kembali kepada fitrah;” iaitu kembali kepada asal kejadian manusia yang suci, bersih daripada dosa, seperti keadaan bayi baru lahir. Hari kemenangan ini seharusnya menjadi titik perubahan diri kepada perkara yang lebih baik dan impak perubahan diri ini kepada individu-individu lain yang berada di dalam lingkungan kita. Adilfitri juga merupakan masa terbaik untuk kita menjalinkan dan memperkukuhkan tali persaudaraan bersama sanak saudara dan juga hubungan dengan masyarakat. Fokus kepada aktiviti ziarah ketika sambutan Aidilfitiri bukanlah semata-mata untuk menikmati juadah dan kuih raya tetapi lebih kepada usaha kita memupuk rasa kasih sayang dan hormat kepada orang lain.

Semua lapisan masyarakat sememangnya amat menantikan sambutan Aidilfitri. Ia bukan hanya disambut oleh masyarakat Islam, di Malaysia khususnya, tetapi perayaan seperti Aidilfitri sebenarnya adalah ruang untuk membina keharmonian dan kebersamaan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini. Maka, tidak pelik jika sepanjang bulan Syawal, aktiviti kunjung-mengunjung dan menghadiri majlis rumah terbuka masih berlangsung sehingga hari terakhir Syawal dan dihadiri oleh pelbagai lapisan dan kelompok masyarakat. Model keharmonian sebegini jarang dilihat di negara-negara lain. Namun begitu, kita juga tidak mahu keharmonian yang berbentuk superfisial sahaja. Keharmonian dan kesepaduan yang dijelmakan dalam hubungan masyarakat pelbagai bangsa dan budaya ini perlu bersifat kekal dan mempunyai makna yang jitu kepada masyarakat secara keseluruhan. Jika rasa kebersamaan dan keharmonian ini dapat dipupuk dan dikekalkan, sebarang cubaan untuk memecahbelahkan dan merosakkan hubungan baik masyarakat akan dapat ditangani.

Sempena Aidilfitri yang akan disambut ini, marilah kita menilai kembali makna Syawal sebagai individu dan juga sebagai ahli dalam kelompok masyarakat yang lebih besar. Kita haruslah sedar bahawa madrasah Ramadan yang kita lalui sebenarnya bertujuan untuk menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik secara peribadi dan juga individu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).” Islam juga amat menitikberatkan aspek hubungan sesama manusia dan di sinilah pentingnya bagi kita untuk memaksimakan peranan sebagai anggota masyarakat. Aidilfitri bukan hanya merupakan hari kemenangan dan satu bentuk perayaan bagi umat Islam bahkan juga perlu dijadikan sebagai titik perubahan menuju kepada kebaikan. Semoga Aidilfitri yang disambut dengan tahmid dan takbir nanti akan membawa transformasi bermakna yang diperlukan oleh diri dan juga masyarakat secara keseluruhan.

Artikel ini telah ditulis oleh Puan Enizahura binti Abdul Aziz, Felow di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik (SYARAK) IKIM

Scroll to Top