MACMA Jadi Rakan Strategik Dakwah dan Perpaduan – Senator Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 19 Feb (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menerima kunjungan pimpinan Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA) yang diketuai Presidennya, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Kompleks Islam Putrajaya.

Pertemuan tersebut disifatkan sebagai amat bermakna dan menyentuh hati, dengan perbincangan tertumpu kepada dua perkara utama iaitu memperkukuh gerakan dakwah serta mempererat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang di negara ini.

Menurut beliau, dalam suasana dunia yang mudah tercetus ketegangan akibat perbezaan, pendekatan MACMA yang berhikmah, damai dan meraikan kepelbagaian wajar dijadikan contoh. Pendekatan itu, katanya, mencerminkan wajah Islam yang sebenar – rahmah dan penuh kasih sayang, bukan berasaskan kebencian atau kemarahan.

“Islam tidak ditegakkan dengan kebencian, tetapi dengan kasih sayang,” katanya.

Beliau turut menyeru agar bulan Ramadan dimanfaatkan untuk menghentikan sengketa serta memperbanyakkan amalan kebaikan demi kesejahteraan bersama.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada MACMA atas peranan berterusan pertubuhan itu dalam menyemarakkan dakwah dan memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam pelbagai kaum di Malaysia.

Senator Dr. Zulkifli menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh agenda perpaduan dan memperkasa usaha dakwah secara inklusif agar Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

WhatsApp
Scroll to Top