LIMA TERAS PELAN TANSFORMASI AL-FALAH JAYAKAN GAGASAN MALAYSIA MADANI – MOHD NA’IM 

KUALA LUMPUR, 8 September (IKIM) – Lima teras utama Pelan Transformasi Al-Falah (PTF) digarap dalam usaha menjayakan gagasan Malaysia Madani. Lima teras itu merangkumi pentadbiran Islam mampan; kesejahteraan insan; kemuliaan syariah; kepimpinan berdaya cipta; dan kehormatan institusi Islam.

Lima teras tersebut merupakan dokumen panduan dinamik yang dinamakan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) 2023–2027 atau dikenali sebagai Pelan Transformasi Al-Falah (PTF) yang telah digubal bagi menetapkan hala tuju 14 agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara terancang dan bersasar untuk tempoh lima tahun. 

Ianya dibentuk selaras dengan visi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menjadi peneraju pengurusan hal ehwal Islam dan kesejahteraan Malaysia MADANI. “Pelan Transformasi Al-Falah digubah berasaskan semangat ‘hayya ala al-falah‘ yang membawa maksud, mari bersama-sama menuju kejayaan, yang menjadi laungan azan solat fardu …”. Menurut Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam wawancara bersama Dewan Tamadun Islam keluaran September 2024. 

Mohd Na’im berkata dalam tempoh pelaksanaan tersebut, penilaian dan kajian semula akan dibuat bagi memastikan strategi, program dan tahap pencapaian sasaran lebih berkesan, seterusnya mencapai keberhasilan yang digariskan.

Berpandukan lima teras ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperincikan lagi gerak kerja pentadbiran hal ehwal agama kepada 10 fokus, iaitu pengislahan dasar dan tadbir urus institusi Islam; pemantapan penyelidikan dan persuratan Islam; kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam; pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun; memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam; penghayatan nilai masyarakat MADANI; pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti; pemerkasaan media dan kesenian Islam; keunggulan pendidikan Islam dan dakwah berhikmah; dan pemodenan prasarana institusi Islam.

**artikel penuh wawancara boleh didapati di Majalah Dewan Tamadun Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Scroll to Top