KUALA LUMPUR, 8 April (IKIM) – Legasi bersejarah pelayar terkemuka dunia Laksamana Besar Zheng He perlu ditelusuri dengan mendalam untuk menghayati nilai-nilai peradaban serta membanteras cabaran masa kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Laksamana Zheng He atau lebih dikenali sebagai Laksamana Cheng Ho, merupakan pelayar terkemuka dari negara China pada abad ke-15 yang membawa misi diplomatik ke pelbagai negara termasuk di sekitar Lautan Hindi.
Anwar menegaskan bahawa sebuah peradaban yang hebat terletak pada prinsip-prinsip seperti kepelbagaian, keterangkuman, perkongsian, dan kerjasama.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video pada sesi pembukaan ‘Persidangan Kosmopolitanisme dan Kerjasama Merentasi Tamadun di Lautan Hindi’, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini semalam.
“Prinsip-prinsip ini bukan sahaja diamalkan oleh Laksamana Zheng He dalam pelayaran diplomatiknya, malah ia turut dicerminkan dalam konsep Malaysia Madani yang mengutamakan belas kasihan, keadilan, serta kerjasama ekonomi antara pelbagai bangsa,” ujar beliau.
Mengambil inspirasi dari Perlembagaan Madinah, Anwar menekankan bahawa asas kepada setiap kemajuan peradaban terletak pada semangat kerjasama antara tamadun, serta keterbukaan dalam menghadapi pelbagai isu semasa.
“Institusi pengajian tinggi bertanggung jawab memainkan peranan penting sebagai sebuah wadah untuk berdialog mengenai kepentingan penghayatan peradaban lama,” tambah beliau.
Lantas, penghayatan terhadap peradaban silam termasuk legasi Laksamana Zheng He perlu diberi perhatian lebih dalam usaha menghadapi isu-isu global masa kini, seperti perubahan iklim, keselamatan maritim, dan pembangunan mampan.
Turut hadir dalam persidangan tersebut, Rektor UIAM, Professor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan sarjana sejarah Islam terkemuka Professor Emeritus John Voll.
Disediakan oleh : Husna Fathiyyah Mohd Fairuz