UJIAN yang datang dalam kehidupan kadangkala membuatkan kita resah dan gelisah. Namun, yang paling penting adalah bagaimana kita berhadapan dengan ujian tersebut. Adakah kita individu yang menyalahkan orang lain bila ujian melanda, atau ujian itu membuatkan kita refleksi diri dan melihat akan kesilapan diri sendiri.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melalui segmen Ibrah memulakan pertemuan dengan membacakan surah al-Israa’ ayat 1 yang bermaksud : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Perkataan pertama yang ada pada ayat pertama surah ini adalah perkataan tasbih, Subhanallah. Surah yang merakamkan peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu Rasulullah SAW diperjalankan pada satu malam daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian diperjalankan untuk bertemu dengan Allah SWT untuk menerima solat dan kembali ke bumi pada malam yang sama.
Peristiwa Israk ini berlaku setelah 10 tahun Rasulullah SAW diuji dengan ujian yang hebat. Pelbagai musibah yang Allah SWT berikan kepada Rasulullah SAW. Baginda kehilangan isteri tercinta, kehilangan bapa saudaranya termasuklah sikap sombong dan bongkak kaum musyrik Quraisy yang terus-terusan menolak Allah SWT dan Rasul-Nya.
Kadangkala, bila kita diuji oleh Allah SWT, kita mudah berasa lemah. Kita juga bila ditimpa ujian, cenderung untuk menyalahkan insan-insan lain. Sikap kita juga, sukar untuk memaafkan seseorang kerana pada kita dia telah melakukan sesuatu yang kita tidak boleh terima. Tetapi, sebagai seorang mukmin, kita harus ingat setiap yang berlaku itu telah dirancang dan ditentukan oleh Allah SWT. Tidak ada musibah yang berlaku secara kebetulan. Segalanya datang daripada Allah SWT dan setiap perancangan Allah SWT adalah perancangan yang Maha Bijaksana dan Maha Penyayang.
Antara sebab Allah SWT menguji kita agar kita bertasbih kepada-Nya. Apabila Allah SWT tidak menguji, kadangkala kita mudah lupa kepada Allah SWT. Namun, apabila perkara susah dan ujian datang, maka lebih mudah untuk kita zikir dan menyebut Subhanallah. ini adalah perkara yang paling kurang apabila kita diuji oleh Allah SWT. Nabi Yunus AS, diuji oleh Allah SWT, berada di dalam kegelapan demi kegelapan. Nabi diuji oleh Allah SWT berada di dalam perut ikan Nun yang menyelam di dasar laut yang gelap di tengah-tengah kepekatan malam. Nabi Yunus AS douji Allah SWT tanpa dapat melihat walau seinci cahaya sekalipun. Bagi Nabi Yunus AS, ini adalah satu musibah.
Di dalam surah As-Saffaat, Allah SWT memaparkan seorang tokoh manusia yang sering bertasbih kepada Allah SWT, Nabi Yunus AS melalui ayat ke-143 dan 144 yang bemaksud : Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih). Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Allah SWT menghadirkan ujian ini buat Nabi Yunus AS untuk melihat adakah apabila Nabi Yunus AS ditimpa ujian, Baginda memilih jalan tasbih, menyalahkan diri sendiri lalu mengingati Allah SWT atau menyalahkan orang lain.
Apabila kita ditimpa musibah, ia mungkin sebagai satu ingatan daripada Allah SWT dan mungkin musibah itu terjadi atas dosa-dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan. Mudah-mudahan dengan kita memilih jalan tasbih dan memperingati Allah, maka Allah SWT memudahkan kita dan memberi jalan keluar untuk kita daripada masalah-masalah yang kita hadapi. Jangan pernah sesekali kita memandang rendah terhadap perancangan Allah setelah kita beristighfar dan bertasih kepada-Nya. Sedangkan Nabi Yunus AS, dengan izin Allah SWT, Baginda dimuntahkan oleh ikan Nun. Semoga dengan tasbih dan zikir kita mengingati Allah SWT juga, Allah akan memuntahkan dan mengeluarkan kita daripada segala musibah.
Musibah yang menimpa para Nabi bukanlah disebabkan oleh dosa mereka kerana mereka adalah maksum. Namun, ujian yang datang kepada Nabi adalah pengajaran untuk kita agar kita belajar untuk sentiasa menghargai tasbih dan percaya akan kekuasaan Allah SWT dengan asbab tasbih kita kepada-Nya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 November 2016