KORBAN PERDANA EZ QURBAN, MAJLIS AGAMA ISLAM MELAKA & IKIM BERJALAN LANCAR

MELAKA, 7 Jun (IKIM) – Korban Perdana Peringkat Negeri Melaka meriah dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali Mohd Rustam. 

Majlis yang berlangsung di Masjid Negeri, Masjid Al-Azim itu turut menghimpunkan hampir 1,000 penerima manfaat daripada program korban yang dilangsungkan. 

Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Hj. Ahmad Fuad Mat Ali berkata IKIM amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan-rakan strategik antaranya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ez Qurban dan Masjid Al-Azim bagi penganjuran program kali ini. 

“Kita harap kerjasama ini akan dapat diteruskan dan bagi yang belum mendaftar untuk ibadah korban tahun ini, penyertaan masih dibuka sehingga 12 tengah hari esok menerusi laman web korbanikim.com,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita IKIMfm pada Program Korban Perdana Peringkat Negeri Melaka, di sini hari ini. 

Bagi Pengarah Program Korban Perdana EZ Qurba, Muhammad Hafeez Firdaus Toharunddin, beliau berkata program yang masuk tahun kelima penganjurannya ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan menggabungkan pelbagai pihak termasuk IKIM, Bank Islam dan EZ Prihatin dengan sokongan kuat MAIM serta Jabatan Mufti Negeri Melaka. 

“Tun Ali Rustam juga turut mengagihkan daging korban beliau untuk masyarakat setempat dan penerima terpilih,” katanya. 

Tun Ali Rustam turut bersama jemaah dan masyarakat setempat sebelum itu menunaikan solat sunat Aidiladha berjemaah. 

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman; dan Al-Iskandar Mokhtar, Pengurus Besar Bahagian Ekonomi dan Pemasaran IKIM. 

Wartawan Lokasi : Nur Madinah Mohammad Noor

Jurugambar : Fathulmungin Mohd. Yusof

WhatsApp
Scroll to Top