KONFLIK KASHMIR PERLU DIFAHAMI SECARA DASAR 

KUALA LUMPUR, 14 Mei (IKIM) –  Sejarah panjang umat Islam di Kashmir serta penduduk yang ingin menentukan nasib mereka sendiri perlu difahami dan menjadi titik tolak kepada konflik terkini yang berlaku antara India dan Pakistan. 

Demikian menurut Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah dalam satu sesi dialog tertutup bersama media di sini hari ini. 

Beliau turut berkongsi India dan Pakistan kini berada dalam konflik ketenteraan yang semakin memuncak dan berisiko meletus menjadi peperangan penuh, yang dicetuskan oleh satu serangan maut ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lepas, yang mengorbankan 26 orang awam. 

“Namun, ketegangan ini berpunca daripada permusuhan yang telah berlarutan selama beberapa dekad,” ujar beliau. 

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa senjata nuklear yang dimiliki Pakistan hanya bertujuan sebagai pertahanan dan bukan untuk digunakan dalam mana-mana konflik, termasuk ketegangan dengan India.

“Senjata nuklear adalah ‘jaminan terakhir’ sekiranya keselamatan negara berada dalam ancaman yang amat serius,” ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM),  Mohd Azmi Abdul Hamid ketika ditemui pada sesi tersebut berkata perspektif konflik ini harus difahami bukan sekadar konflik antara dua negara dan perkongsian Syed Ahsan membuka mata tentang isu serantau serta hubungan diplomatik. 

Beliau berkata yang menjadi kebimbangan adalah kedua-dua negara ini adalah negara nuklear dan terdapat kemungkinan perselisihan yang berpanjangan ini boleh membawa kepada peperangan nuklear.

“Kita rasa kemusnahan akan menjadi lebih besar dan diluar jangka sekiranya ia terjadi,” kata beliau. 

Mohd Azmi menambah penyelesaian konflik antara India – Pakistan ini adalah menyelesaikan secara tuntas pemilikan wilayah Kashmir. 

“Sekiranya penindasan ke atas Kashmir itu berterusan, maka elemen-elemen yang ekstrim akan terus muncul kerana mereka ingin pertahankan hak mereka serta hak mereka dikembalikan,” tambah beliau. 

Pada 7 Mei lepas, Tentera Pakistan menyatakan bahawa 31 orang terbunuh dalam serangan oleh India. Manakala, menurut seorang pegawai kanan pertahanan India, serangan peluru oleh Pakistan telah membunuh sekurang-kurangnya 12 orang di pihak India di sempadan. 

Sejak itu, dron India telah menyerang bandar utama dan kemudahan ketenteraan Pakistan, manakala India pula menuduh Pakistan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas bandar serta fasiliti ketenteraannya.

Turut hadir dalam sesi tersebut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Jurugambar : Siti Nur Madinah Muhammad Noor & Fazril Amirul Azali

WhatsApp
Scroll to Top