ALLAH SWT telah menghadiahkan Al-Quran buat kita umat Nabi Muhammad SAW. Peluang yang ada untuk menghayati setiap bait-bait ayat suci ini perlu kita gunakan sebaiknya agar manfaat daripada Al-Quran kita dapat terjemahkan dalam kehidupan seharian kita. Apabila kita berinteraksi dengan Al-Quran melalui cara yang betul, pasti kita dapat menilai kehidupan dengan cara yang berbeza.
Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menyambung kisah Nabi Sulaiman AS dan kuda perang baginda. Melalui ayat al-Quran surah Saad, ayat 35 Allah SWT berfirman yang bermaksud : Katanya: \” Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya \”.
Semua sedia maklum Nabi Sulaiman AS mempunyai tentera yang sangat hebat terdiri daripada angin dan jin serta dianugerahkan kepada Nabi Sulaiman AS pelbagai lagi tentera-tentera yang hebat daripada Allah SWT. Tentera-tentera ini hadir setelah Nabi Sulaiman AS membacakan doa di dalam Surah Saad ayat 35 ini. Doa ini adalah doa mustajab dan buktinya Allah SWT hadirkan melalui ayat-ayat seterusnya di dalam Surah Saad.
Ustaz turut berkongsi setiap kali kita membaca Al-Quran, jangan sekali-kali pernah berpada dengan tafsirannya. Jangan juga kita sekali-kali membaca al-Quran dengan berkata ayat ini pernah aku baca dan dengar kisah ini. Sekiranya begitu kita tidak akan dapat merasai setiap ayat yang kita baca, Al-Quran sedang berinteraksi dengan kita. Ini boleh menyebabkan kita tergolong dalam kategori individu yang membaca Al-Quran sedang hatinya tekunci kerana kita mengunci akal dan fikiran kita daripada mendengar tafsiran lain mengenai ayat yang kita baca.
Sebelum Nabi Sulaiman AS berdoa kepada Allah SWT memohon diluaskan kekuasaannya, terdapat satu peristiwa yang telah terjadi kepada Baginda yang dirakamkan oleh Allah SWT melalui ayat 34 Surah Saad yang bermaksud : Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami): –
Allahyarham Buya Hamka menyebut mengenai tafsiran ayat ini yang mana Nabi Sulaiman AS diuji dengan ujian yang berat sebab Allah SWT menggunakan ayat ‘Fatanna’ yang membawa erti diberikan kepada Nabi Sulaiman AS satu fitnah dan fitnah ini ertinya ujian yang berat. Ayat ini membawa satu pengertian, sebelum Nabi Sulaiman AS berdoa kepada Allah SWT dan dengan doa itu, Baginda telah dikurniakan dengan pelbagai anugerah daripada Allah SWT, Baginda telah lulus satu ujian yang berat.
Ujian Nabi Sulaiman AS didatangkan dengan satu jasad di atas takhta Baginda. Kata Buya Hamka, tubuh yang didatangkan itu, tidak diketahui tubuh itu masih hidup atau telah mati dan juga tidak diketahui milik siapakah tubuh itu. Namun sikap Nabi Sulaiman AS menurut Buya Hamka, sebesar mana pun ujian ini, tetap Baginda kembali kepada Allah SWT. Tidak sekali-kali ujian itu mengganggu tumpuan Nabi Sulaiman AS untuk sentiasa mengingati Allah SWT. Jelas dapat kita lihat kualiti insan yang doanya dimakbulkan oleh Allah SWT.
Tafsiran yang kedua mengenai perkataan ‘Jasadan’ menerusi ayat 34 ini, Imam Fakhruddin Ar-Razi menyebut, orang arab kadangkala menggunakan perkataan jasadan ini merujuk kepada satu tubuh yang terlalu penat. Maka, dapat kita fahami, perkataan Jasadan di dalam ayat ini seolah-olah merujuk kepada Nabi Sulaiman AS yang terlalu penat menguruskan hal-hal keduniaan. Menguruskan pemerintahan dunia dan menundukkan semua empayar di bawah pemerintahan Islam.
Makanya, apabila Baginda pulang ke istana, Baginda letih dan duduk di atas singghsananya. Namun, letih bagaimanapun Nabi Sulaiman AS, tetapi tetap Nabi Sulaiman AS berdoa dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Baginda tidak mengenal erti penat demi agama Allah SWT. Jasad memang letih tetapi rohnya masih bersemangat.
Dapat kita lihat dan ambil pengajaran daripada ayat ini, sekalipun kita lelah dengan pelbagai ujian dalam menyebarkan Islam, hati kita perlu sentiasa kuat dan jangan sekali-kali berputus asa. Apa yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman AS, sekalipun letih tetap sentiasa kita memohon kepada Allah SWT untuk diberikan kekuatan. Jadilah kita daripada hamba Allah SWT yang sentiasa sibuk dan letih dengan kerja-kerja dakwah agar kita mendapat ganjaran dan redha-Nya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Ogos 2016