Selamatkan Keluargamu

INSTITUSI keluarga merupakan madrasah penting dalam melahirkan individu muslim berkeperibadian mulia. Nikmat yang disusuli dengan rahmat melalui keluarga yang bahagia akan membawa kepada kebaikan dan ganjaran syurga. Sebuah keluarga yang diterajui dan dipimpin oleh pasangan suami isteri, memerlukan kasih sayang dan tanggungjawab rumah tangga terhadap keselamatan serta kesempurnaan kehidupan yang mengikut syariat. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah membicarakan topik ‘Selamatkan Keluargamu’ yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu yang lalu jam 10.15 pagi.

Suami dan Isteri saling membimbing antara satu sama lain dalam memberi didikan dan tarbiyah dalam meneraju rumah tangga. Allah S.W.T berfirman dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. Ayat Al-Quran ini mengajar umat Islam terhadap asas dan teras kepada pemeliharaan sebuah keluarga melalui kesepakatan oleh suami dan isteri serta mengelakkan ahli keluarga daripada melalakukan perkara yang dilarang ALLAH S.W.T.

Sesebuah keluarga yang mendapat keselamatan dari sudut agama dan duniawi adalah bermula dengan melaksanakan nafkah dan sikap bertanggungjawab melalakukan peranan suami isteri serta mempunyai hak masing-masing untuk mendapatkannya. Martabat wanita sebagai isteri untuk taat dan setia pada suami juga merupakan sebuah inspirasi rumah tangga yang bahagia. Penegasan dari pesan Rasulullah S.A.W dalam khutbah baginda yang terakhir memberikan mesej jelas bahawa Rasulullah S.A.W juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.” Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.

Darjat dan kedudukan suami isteri didalam keluarga akan terpelihara sekiranya masing-masing melaksanakan tanggungjawab terlebih dahulu dan barulah diantara mereka akan mendapat hak. Oleh itu, perkara ini dapat melihat bahawa seorang individu yang hebat akan bermula dengan pendidikan dari keluarganya yang hebat. Keharmonian rumah tangga serta peranan tanggungjawab harus bermula dari institusi keluarga terlebih dahulu dimana situasi ini dapat dilihat melalui perjuangan Rasulullulah S.A.W dalam menyampaikan syiar Islam adalah bermula dari keluargnya terlebih dahulu dengan membawa dakwah itu kepada isterinya serta kepada anak angkatnya Saidina Ali dan sahabat rapatnya Saidina Abu Bakar. Oleh yang demikian, amalan Rasulullah S.A.W ini dapat dipelajari bahawa suami isteri perlu menerapkan elemen-elemen kebaikan itu terhadap organisasi keluarga dan hendaklah jujur mendapatkan kepercayaan diantara satu sama lain.

Konsep ‘Baiti Jannati’ iaitu rumahku syurgaku harus diterapkan dalam institusi kekeluargaan bagi meningkatkan tahap pencapaian keharmonian. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan terdapat tiga perkara yang boleh dilaksanakan bagi mencapai tahap pencapaian tersebut melalui amalan pertama iaitu takwa. Allah S.W.T berfirman melalui surah Al-Qalam ayat 34 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.” Penerangan ayat ini membuktikan bahawa ganjaran orang-orang yang bertakwa terutamanya dikalangan ahli keluarga yang mengutamakan suruhan ALLAH akan terus membawa kepada ganjaran syurga-Nya.

Perkara kedua adalah merupakan hubungan sesama manusia iaitu akhlak yang baik bersama ahli keluarga dan masyarakat serta yang ketiga adalah tanggungjawab dan peranan umat Islam terhadap keluarganya. Sebuah keluarga yang menitikberatkan mengenai syariat dan panduan dari ajaran Islam adalah merupakan asas kepada pegangan mengenali ALLAH S.W.T dengan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan. Iman dan takwa yang membimbing keharmonian rumahtangga akan membentuk sebuah keluarga yang harmoni melalui akidah pembentuk jatidiri yang sejati. Penghayatan ibadah dan penerapan amalan mulia dalam sistem pembangunan modal insan akan terus membuka ruang dalam rumahtangga bagi memelihara keselamatan institusi kekeluargaan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Ogos 2016
Scroll to Top