Kesengsaraan Neraka

DI dalam perjalanan menuju syurga, perlu untuk manusia memahami adanya kawah neraka  yang menyebabkan ramai di kalangan umat manusia tidak terlepas daripada terhumban ke dalam neraka Allah kerana kelalaian atau tidak tahu apakah yang akan berlaku pada masa akan datang. Keadaan ini amat merugikan apabila perjalanan umur yang dilalui di dunia ini dibiarkan berlalu di dalam keadaan tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapi Hari Kiamat.

Kalimah yang disebut oleh Allah SWT bagi menggambarkan kesengsaraan penghuni neraka ialah, “Kekal lah kamu di dalam neraka itu buat selama-lamanya”. Bagi manusia yang dihumban di dalam neraka dan kekal di dalamnya, maka tidak ada manfaat baginya perjalanan hidup sebelum ini dan hanya sia-sia. Walaupun ketika hidup di dunia dahulu banyak harta yang dikumpulkan, mempunyai kedudukan yang tinggi dan berpengaruh, tetapi tiada faedahnya semua itu apabila kesudahannya kita menjadi penghuni neraka. Kehidupan ini mendatangkan manfaat  apabila dipilih untuk menjadi penghuni syurga yang merupakan kegembiraan sebenar bagi orang mukmin.

Allah menangguhkan azab kepada manusia dan tidak menghukum manusia ketika hidup di dunia sebelum tibanya Hari Akhirat. Manusia yang melakukan dosa dan maksiat di dunia ditangguhkan azab pada hari pembalasan kelak. Tetapi hebatnya balasan kesengsaraan kepada mereka apabila dihumban ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.  Syufa bin al Matti bin Asbahi pernah masuk ke dalam Kota Madinah dan melihat orang ramai mengerumuni seseorang dan bertanya apakah yang dilihat mereka. Mereka menjawab bahawa mereka sedang mendengar kuliah daripada Abu Hurairah dan kemudiannya beliau turut bersama-sama mendengar kuliah tersebut. Apabila selesai kuliah tersebut dan orang-ramai mula bersurai, Syufa mendekati Abu Hurairah lalu bertanya kepada beliau, “Aku ingin mengatakan kepadamu suatu perkara, bolehkah kamu menceritakan satu hadis yang kamu dengar terus daripada Rasulullah SAW? Lalu Abu Hurairah menceritakan satu peristiwa sambil menangis dan mengusap wajahnya, hadis ini disampaikan kepadanya ketika bersendirian bersama Baginda.

Abu Hurairah menangis teresak-esak sehingga tersungkur wajahnya dan apabila dia sedar semula, dia menceritakan bahawa Rasulullah menyebut, “Hari Kiamat nanti, akan turun Allah kepada hamba-hamba untuk mengadili mereka. Kemudian pada waktu itu semua manusia berlutut. Orang pertama sekali dipanggil oleh Allah ialah mereka yang rajin membaca al-Quran. Orang kedua yang dipanggil ialah orang yang mati di jalan Allah dan ketiga ialah orang yang banyak hartanya dan suka menderma. Lalu Allah bertanya kepada orang yang rajin membaca al-Quran itu, “Dahulu Aku ajarkan kepadamu membaca al-Quran, apa yang diturunkan Allah kepada kamu telah dibaca dan diketahui”. Orang itu menjawab, “Benar wahai Tuhanku.” Lalu Allah bertanya lagi, “Lantas, apakah yang kamu lakukan dengan apa yang kamu telah ketahui?” Pembaca al-Quran berkata, “Kami ini ya Allah, beramal sepanjang siang dan malam berdasarkan apa yang terdapat di dalam al-Quran”. Allah menyebut pula, “Kamu berbohong”. Begitu juga yang dikatakan oleh para malaikat. Allah berfirman, “Ketika kamu membaca al-Quran dahulu hanya untuk digelar sebagai seorang pembaca yang hebat dan bukan kerana Aku dan untuk dipuji mempunyai suara yang merdu.” Lalu Allah memerintahkan kepada para malaikat agar mengambil orang yang membaca quran itu untuk dihumban ke dalam neraka.

Seterusnya dipanggil pula orang yang berharta dan suka menderma itu dan Allah bertanya, “Tidakkah dahulu Aku luaskan rezeki untukmu, rezeki yang banyak. Kemudian di dalam keadaan Aku tidak membiarkan kamu dengan memberikan apa yang kamu hajati, apakah kamu telah membantu orang lain dengan rezeki yang diberikan Allah kepadamu.” Lalu orang itu menjawab, “Ya wahai Tuhanku, kami telah membantu.” Allah berkata, “Sewaktu Aku berikan kepadamu, apakah lagi yang telah kamu lakukan?” Orang itu menjawab, “Kami menyambung silaturahim dengan rezeki yang banyak itu dan kami bersedeakah ke jalan Allah.”  Allah menjawab kembali, “Kamu berbohong.” Malah para malaikat menyatakan perkara yang sama dan memberitahu bahawa orang itu menderma  untuk menunjukkan dirinya seorang dermawan. Kemudian Allah memerintahkan agar orang itu diheret dan dihumban ke dalam neraka.

Dipanggil pula orang yang mati berjihad ke jalan Allah dan ditanya tidakkah mereka berperang sehingga terbunuh. Lalui dia menjawab, “Ya, ya Allah. Kami berjuang dan terhumban di jalan Allah sampai kami terbunuh mempertahankan agama Allah.” Jawapan itu disangkal Allah dan para malaikat kerana orang itu berbohong dan hanya mahukan pujian manusia yang menyatakan dia adalah pahlawan terhebat. Lalu orang itu juga dimasukkan ke dalam neraka. Ketika menyampaikan hadis ini, Baginda kemudian menepuk bahu Abu Hurairah dan berkata padanya bahawa ketiga-tiga orang itulah yang pertama sekali akan dijilat api neraka pada Hari Kiamat kelak.

Sebagaimana yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsian slot Mau’izati di IKIMfm, kesengsaraan di dalam neraka seterusnya ialah ukuran fizikal penghuninya diperbesarkan saiznya kerana api itu sendiri  terlampau panas. Api di atas dunia hanya satu pertujuh puluh sahaja daripada api di dalam neraka. Di dalam hadis yang di sampaikan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Api yang berada di atas dunia ini, hanya satu juzuk daripada 70 juzuk api neraka Allah SWT.” Para sahabat bertanya kepada Baginda, “Ya Rasulullah, sekiranya  neraka seperti api dunia, itu sudah mencukupi.” Baginda menjawab api neraka dilebihkan ke atas api dunia dengan 69 bahagian lagi, yang setiap  bahagiannya sama dengan panasnya api di dunia ini sendiri.

Firman Allah di dalam surah al-Waqiah, ayat 61-62: “(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya. Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).” Rasulullah SAW bersabda: “Gigi taring penghuni neraka sama besarnya dengan Bukit Uhud dan tebal kulit mereka, jika kamu berjalan untuk menghabiskan jaraknya ialah selama tiga hari.” (Hadis riwayat Abu Hurairah). Saiz fizikal penghuni neraka dibesarkan Allah untuk menambahkan kesengsaraan meraka ketika diazab nanti. Malah wajah mereka berubah menjadi hitam legam dan dicacatkan serta sangat menakutkan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Disember 2016
\"2016-12-15\"
WhatsApp
Scroll to Top