Syukur Yang Subur (Bahagian 2)

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim, ayat 7).

Usah di tunggu bahagia baru memanjatkan syukur, sebaliknya panjatkan syukur maka bahagia akan menyusul. Dimensi kehidupan wujud dalam pelbagai situasi. Oleh itu, jangan ditunggu banyaknya nikmat tetapi belajarlah bersyukur walau atas nikmat yang sedikit.

Itu sebahagian sedutan perkongsian Islam Itu Indah di IKIMfm yang bersiaran jam 10.15 pagi setiap Rabu. Kali ini, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menekankan prinsip untuk membugarkan perasaan syukur bukan sekadar saat tersungkur malah sewaktu gembira dan nikmat berbaur.

Sesungguhnya, semakin kuat menzahir rasa syukur, nikmat akan bertambah sekaligus menambahbaik kualiti jiwa. Ia menepati  firman Allah SWT mafhumnya: “Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat  zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)”. (Surah Ibrahim, ayat 34).

Pertambahan nikmat terbahagi kepada dua iaitu pertambahan dari sudut kuantiti dan kualiti. Justeru, bersyukurkan dengan lisan, dalam tindakan mahupun menerusi hati kerana ia selaras dengan tujuan nikmat itu diberi.

Misalnya, syukur saat miliki harta dengan melakukan sedekah. Harta akan berkurangan jika di belanjakan tetapi jika dilaburkan sebagai sedekah, ia akan memberi pulangan lebih lumayan di alam sana. Ia jelas di nyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Surah Al-Baqarah, ayat 261).

Menerusi sedekah juga bukan sekadar kuantiti ganjaran bertambah, malah kualiti jiwa juga berubah. Inilah yang didambar setiap manusia untuk beroleh jiwa yang lebih bahagia dengan keberkatannya ada.

Jalan bertemu kebahagiaan bergantung kepada kualiti jiwa yang hanya akan datang daripada jiwa yang bersyukur. Melahirkan jiwa bersyukur perlu kepada sifat qanaah (bercukupan) iaitu cukup dengan sedikit dan jika berlebih mampu untuk dibahagi-bahagikan. Dengan cara itu, hati akan lebih lapang dan menawarkan jiwa yang lebih sihat serta segar.

Satu lagi cara untuk menambah kualiti jiwa adalah dengan fokus pada kekelebihan yang ada berbanding kekurangan. Ironinya, walau sekecil manapun nikmat yang di kurnia ia akan dirasakan besar kerana yakin bahawa nikmat itu datang daripada Allah yang Maha Besar. Acapkali rasa syukur tidak hadir ke dalam hati saat menerima nikmat kerana fokus diberi hanya kepada nikmat bukan kepada si Pemberi nikmat. Nikmat yang besar akan terasa kecil kerana terlalu menumpu kepada nikmat yang diterima. Cuba alihkan cara focus dengan melihat di balik nikmat yang diterima ada Pemberi yang Maha Besar. Justeru, walau sekecil manapun nikmat di depan mata, hakikatnya akan melahirkan rasa yang besar di dalam jiwa.

Selain itu, usah taksub melihat individu yang berada atas kerana ia membawa jiwa semakin kerdil sekaligus mengurangkan rasa syukur di dalam diri. 

Syukur dapat dibentuk dengan tiga kaedah. Pertama menerusi lisan. Lazimi mengungkap kalimah ‘Alhamdulillah’. Secara tidak langsung ia melatih diri untuk membesarkan pemberi nikmat dan membersihkan hati serta terhindar daripada sifat hasad.

Di samping itu, didik hati untuk sentiasa bergantung harap padaNya semata. Tidak rasa memiliki tetapi tahu diri dimiliki olehNya. Menerusi kaedah syukur dengan hati akan menjadikan diri lebih tunduk kerana sedar setiap nikmat datangnya dari sifat kasih sayang Allah yang Maha Pemurah dan Maha pengampun. 

Akhir sekali, untuk syukur perlu kepada  amalan atau tindakan. Taati perintah Allah dan jauhi segala laranganNya. Belajar untuk wujudkan rasa malu dengan Allah atas kegagalan membalas kebaikan yang Allah curahkan tetapi lebih tega melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

Justeru, usahakan sebaik mungkin mewujudkan perasaan syukur dan disuburkan ke dalam diri walau sering berdepan kesukaran. Yakinlah bahawa pada kesyukuran letaknya kebahagiaan. Sedarlah bahawa kita terlalu banyak berhutang kepada Allah: berhutang untuk syukur atas nikmat yang tak pernah luntur.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Disember 2016
2016-12-14
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top