KUALA LUMPUR, 1 Mei (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan keperluan untuk memastikan usaha memperkukuh sektor pelancongan negara dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat serta nilai dalam kerangka Malaysia MADANI.
Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, inisiatif kerajaan dalam merancakkan sektor pelancongan melalui pelbagai program promosi adalah langkah yang wajar dihargai. Namun, beliau menekankan bahawa pendekatan penganjuran acara, khususnya yang melibatkan hiburan di kawasan awam, perlu dinilai secara menyeluruh agar selari dengan konteks semasa dan tidak bercanggah dengan nilai kesederhanaan.
Beliau berkata, terdapat keperluan untuk meneliti semula bentuk program yang dianjurkan agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama apabila wujud percanggahan antara seruan penjimatan dan penganjuran acara berskala besar.

Dalam masa sama, Ahmad Fahmi menegaskan bahawa kekuatan pelancongan Malaysia terletak pada keunikan jati diri negara yang merangkumi kepelbagaian budaya, makanan tradisi, adat dan pakaian masyarakat majmuk. Justeru, pendekatan promosi yang terlalu bergantung kepada hiburan generik berisiko menghakis keaslian identiti Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbudaya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar strategi pelancongan negara diperkukuh secara lebih bersepadu, berpaksi nilai serta disokong garis panduan yang jelas bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan sesuai dengan konteks semasa dan sensitif terhadap nilai masyarakat.
Tambah beliau, keseimbangan antara keperluan ekonomi dan kepekaan sosial adalah asas penting dalam pembentukan dasar yang berkesan, sekali gus memastikan imej negara terus terpelihara dan dihormati di peringkat antarabangsa.




