DALAM rancangan Topik Jumaat di radio IKIMfm yang bersiaran pukul 8.30 pagi, ulama terkenal berasal dari Iraq, Mawlana Sheikh Afeefuddeen al-Jailani berbicara tentang impak ibadat terhadap amalan seharian kita. Beliau memulakan bicara dengan menyebut setiap manusia yang lahir di atas mukabumi ini mempunyai matlamat hidup yang satu iaitu ingin mencapai “kebahagian”. Kebahagian dicari oleh semua orang samada orang Islam mahupun bukan Islam, dan ia diakui di kalangan ahli Falsafah Yunani sendiri sebagai matlamat utama manusia sejak awal tamadun manusia lagi. Sebab itulah jika diperhatikan kalimah kebahagiaan atau ketenangan dalam bahasa Arab “sakinah” turut berkait rapat dengan tempat tinggal yang disebut dalam bahasa Arab sebagai “maskan”. Ketenangan yang awal bermula di tempat tinggal yang sekiranya dapat dicapai, maka mudahlah untuk memperolehnya di luar rumah juga. Itulah juga matlamat pembinaan sebuah rumahtangga yang disebut sebagai demi mencapai “sakinah” , “mawaddah” dan “rahmah”.
Ketenangan tidak boleh dicapai secara melalui luaran kerana ianya adalah bersifat dalaman atau rohani. Apabila bercakap tentang rohani, kita tidak dapat lari daripada berbicara tentang hati sanubari dan oleh kerana itulah Allaah SWT berpesan dan mengingatkan kita hanyasanya dengan mengingati Allah SWT sahajalah, hati akan menjadi tenang sepertimana Firman Allah SWT mafhumnya: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir mengingati Allah, ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram” (al-Ra’d: 28). Oleh kerana itu untuk menjadi tenang, kita perlu sentiasa membersihkan hati kita agar suci daripada penyakit hati dan dosa-dosa yang boleh mengotorkan hati dan menghilangkan ketenangan jiwa. Membersihkan hati merupakan agenda utama kita orang beriman agar sebelum kita meninggalkan dunia ini, hati kita bersih, dan sihat sejahtera kerana hanya orang yang hatinya bersih sahaja yang akan selamat di Hari Akhirat kelak sepertimana mafhum Firman Allah SWT “ hari yang tidak memberi manfaat melainkan orang yang kembali kepada Allah dengan hati yang sihat sejahtera (Qalbun Salim)” (Surah: al-Syu’ara:89)
Ada kalanya di kalangan kita beribadah begitu gigih di depan manusia, tetapi apabila bersendirian mereka malas dan tidak segigih sepertimana ketika bersama orang ramai. Dalam hal ini pesan Sheikh Afeefuddeen ialah agar kita memperbanyakkan peluang merebut tahajjud di malam hari. Generasi Solafussoleh gigih menghidupkan malam kerana rahmat Allah amat banyak di malam hari menghidupkan hati-hati yang mati dan mengikhlaskan hamba bagi mencari redhaNya.
Ada juga terjadi mereka gigih beribadat namun masih lagi berakhlak buruk seolah ibadah itu tidak memberi bekas kepada diri dan personalitinya. Dalam hal ini, Sheikh mengingatkan kita bahawa ibadat yang kita lakukan itu bukan sifatnya semata-mata pergerakan fizikal seperti senaman, tetapi hendaklah turut sama disertai dengan hati. Ketika melaksanakan ibadat, hati kena khusyuk dan ikhlas mengharapkan redha Allah. Jika kita telah banyak beribadat tetapi masih lagi berakhlak buruk, maka perelokkan lagi ibadat kita hingga nanti memberi bekas kepada peribadi kita kerana sesungguhnya ibadat yang diterima Allah pasti akan memberi kesan kepada peribadi seseorang sepertimana mafhum Firman Allah SWT: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Surah al-Ankabut:45). Selain daripada kita gigih melaksanakan ibadat, jangan kita lupa bahawa ibadat itu bukan sekadar pergerakan fizikal, tetapi hendaklah turut disertai dengan rohani barulah memberi bekas dan impak kepada diri kita. Untuk mendatangkan khusyuk dan ikhlas dalam hati ini perlukan perjuangan atau mujahadah sentiasa melawan agar akhirnya dianugerahkan ikhlas oleh Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Januari 2018