Keringat dan Debaran di Padang Masyar

UKURAN kejayaan hidup setiap manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah jadikan ukuran nilai sama ada berjaya atau tidak ketika kita berada di Padang Mahsyar nanti. Sebagaimana yang diceritakan oleh al-Muhasibi di dalam kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia dan jin di Padang Mahsyar di dalam keadaan hina dan tidak ada seorang pun yang bangun dalam keadaan berpakaian. Mereka yang dahulunya mempunyai kedudukan, darjat dan pangkat juga akan berada di dalam keadaan menjadi rendah dan hina kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada ketika itu. Orang yang jahat datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh dengan ketakutan, malah syaitan juga dibawa di dalam keadaan yang sama di Padang Mahsyar nanti.

Bintang-bintang di langit berhamburan dan jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi pudar seketika dan suasana menjadi mendung dan gelap. Langit berputar-putar dan berpusing di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia berada di dalam kebingungan. Kemudian langit akan terbelah dan bunyinya akan didengari oleh semua makhluk yang berada di Padang Mahsyar pada ketika itu. Firman Allah di dalam Surah al-Maarij, ayat 8-9: “Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair. Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)”.

Abu Hamid di dalam kitab Kasyful Ulum al akhirah menceritakan jika semua makhluk itu telah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah mula memerintahkan malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk memindahkan hamba-hamba-Nya yang soleh ke bumi lain. Kemudian dipindahkan manusia dan jin yang soleh, termasuklah binatang dan burung-burung ke bumi yang kedua, tanahnya berwarna putih daripada perak yang bercahaya. Setelah itu malaikat yang berjumlah 10 kali ganda daripada jumlah keseluruhan makhluk membuat barisan di sempadan di antara bumi pertama dan kedua. Seterusnya Allah memerintahkan para malaikat di langit kedua hingga ke-tujuh untuk turun ke bumi, membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang ada dan tidak ada seorang pun yang mampu lari menembusi kepungan para malaikat itu. Bumi menjadi sangat padat dan para makhluk bersesakan, himpit-menghimpit di antara satu sama lain dan berpeluh kepanasan di dalam keadaan yang merimaskan.

Ustaz Ahmad Dusuki di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang menyambung perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan penuh debaran kerana pada saat itu matahari berada sangat dekat di atas kepala sehingga boleh disentuh dengan hanya mengangkat tangan mereka. Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah yang mendapat minuman hanyalah di kalangan mereka yang soleh yang diberikan oleh anak-anak syurga yang soleh. Di Padang Mahsyar nanti akan kelihatan awan yang bergerak di atas kepala, menaungi mereka yang sentiasa bersedekah ketika hidup di dunia dahulu, selama seribu tahun menyebabkan mereka tidak akan merasa panas. Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi isyarat turunnya Arash Allah yang dibawa oleh lapan malaikat, diiringi ribuan malaikat menyebabkan seluruh makhluk mengigil ketakutan.

Di Padang Mahsyar manusia berada di dalam kebingungan dan pada ketika itu mereka mula mencari Nabi Adam AS, tetapi baginda tidak berani melakukan apa-apa dan meminta mereka berjumpa Nabi Noh AS, namun baginda juga  tidak dapat membantu. Begitu juga dengan Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi-nabi lain. Sehinggalah akhirnya umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sujud sambil menangis dan berkata, “Semua para nabi telah menggunakan doa-doa mustajab mereka ketika di dunia dahulu, kecuali diriku.” Walaupun sudah mengetahui hasrat Rasulullah, Allah menghantar malaikat untuk bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis pada ketika itu. Rasululullah memohon agar umat manusia diadili, kerana mereka sudah terlalu lama menunggu di Padang Mahsyar itu.

Selepas itu barulah Allah menggerakkan Arasy dan umat manusia akan mula diadili. Di dalam riwayat Ibnu Mubarak menceritakan bahawa Salman menyebut, pada hari Kiamat matahari didekatkan kepada manusia hingga jarak dua kali anak panah di kepalanya. Keadaan panas kepada manusia yang tidak berpakaian pada ketika itu selama seratus tahun. Namun orang mukmin tidak merasa panas kerana mereka sentiasa menutup aurat ketika hidup di dunia dahulu.

Di dalam riwayat al-Miqdad bin al-Aswad, Rasulullah SAW bersabda, hari Kiamat nanti matahari didekatkan dengan kepala sejarak satu batu daripada mereka. Apabila ditanya oleh Salim bin Amir apakah yang dimaksudkan oleh Baginda, Rasulullah menjawab jarak satu batu yang dimaksudkan tidak sama di antara satu sama lain, bergantung kepada amalan yang mereka lakukan ketika hidup di dunia dahulu. Sebagaimana berbezanya tahap peluh yang keluar daripada badan mereka, ada yang berpeluh sehingga ke buku lalinya, ada yang sampai ke lutut, malah ada sampai ke mulut. Rasulullah SAW menyebut, Jibril datang kepadanya dan menceritakan tentang hari Kiamat sehingga menyebabkan Baginda menangis dan berkata, “Wahai Jibril, bukankah seluruh dosaku akan diampunkan oleh  Allah SWT?”. Jibril menjawab “Wahai Muhammad, kamu akan melihat dahsyatnya hari Kiamat sehingga kamu lupa bahawa kamu telah diampunkan dosa oleh Allah”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Julai 2016
Scroll to Top