Hebatnya Doa Nabi Sulaiman AS

DALAM setiap pekerjaan dan tindakan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian kita, sentiasa letakkan Allah SWT sebagai matlamat dan sentiasa juga memohon keampunan daripada Allah SWT agar kita sentiasa dalam peliharaan dan mendapat redha Allah SWT.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu memulakan segmen Ibrah dengan membacakan ayat suci Al-Quran di dalam Surah Saad, ayat 35 yang bermaksud : Katanya: \” Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya \”.

Pada minggu lalu, Ustaz Syaari membawakan kisah Nabi Sulaiman AS yang tidak pernah dikongsikan melalui segmen Ibrah ini. Nabi Sulaiman AS pernah berdoa kepada Allah SWT supaya diampunkan dosanya dan diberikan kepadanya kerajaan yang luas yang tidak pernah diberikan kepada orang-orang lain selepas Baginda.

Sekiranya kita lihat apabila Nabi Sulaiman AS berdoa dimulakan dengan frasa ‘ampunkanlah kesilapanku’ yang merujuk kepada Baginda mendahului dengan mencari redha Allah SWT dan pengampunan daripada Allah SWT. Sebagai seorang rasul, Nabi Sulaiman AS sentiasa mengukur sesuatu perkara, adakah ini mendapat redha Allah SWT atau sebaliknya. Ertinya Nabi Sulaiman AS mendahulukan perhitungan agama dan hubungan dengan Allah SWT dan kemudian baru menyusul urusan keduniaan apabila Baginda memohon kerajaan daripada Allah SWT.

Perkara yang perlu kita ambil dalam melihat tindakan Nabi Sulaiman AS ini ialah dalam setiap apa pekerjaan yang kita lakukan, perlu sentiasa kita ingat akan dosa dan pahala. Ayat ini mengajar kita, pengampunan Allah SWT adalah matlamat dan visinya serta kerajaan yang hebat adalah kaedah dan misi. Tiada guna memiliki kerajaan atau pekerjaan yang hebat sedangkan dalam mengusahakan kerajaan serta pekerjaan itu, dipenuhi dengan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Ayat ini juga mengajar kita, dengan beristighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT, Allah SWT akan buka pintu rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Apabila kita bergerak dalam melakukan setiap pekerjaan kita, mulakan pagi kita dengan istighfar agar apabila kita melakukan kesilapan, kita dapat mengelakkan diri kita daripada sentiasa menyalahkan orang lain. Orang yang benar-benar ikhlas dalam istighfar, maka dia layak menerima rezeki daripada Allah SWT.

Pada Nabi Sulaiman AS, apabila Baginda memerintah dengan biasa-biasa ia merupakan dosa kerana pada Baginda, masih belum lakukan yang terbaik. Doa ini mengajar kita untuk sentiasa lakukan yang terbaik dalam setiap kerja kita dan pentingnya memulakan sesuatu itu dengan istighfar kerana keberkatan itu adalah sesuatu yang sangat penting untuk menjamin rezeki yang melimpah ruah.

Selain itu, ayat-ayat sebelumnya pula membawakan cerita kenapa Nabi Sulaiman AS berdoa kepada Allah SWT. Ayat sebelumnya mengisahkan tentang seekor kuda yang didatangkan kepada Nabi Sulaiman AS  dan apa yang Nabi Sulaiman AS lakukan kepada kuda-kuda ini. Ayat 30 – 34 Surah Saad yang bermaksud : Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari. (Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: \” Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan lebih daripada mengingati (ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam\”. (Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): \” Bawa balik kuda itu kepadaku\”; maka ia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami): –

Di dalam ayat ini, Nabi Sulaiman AS mengajarkan kepada kita apabila melihat kepada sesuatu yang hebat seperti Nabi Sulaiman AS melihat akan kuda hebat yang dikurniakan oleh Allah SWT, akan sentiasa meniti di bibir kita pujian kepada Allah SWT atas segala kurniaan yang dimiliki. Ini adalah cara melihat Nabi Sulaiman AS kepada dunia dan ini mengajarkan kepada kita, jangan tolak dunia. Harta itu perlu tetapi kita perlu pandang setiap material itu dengan cara pandangan Nabi Sulaiman AS.

Pastikan dalam setiap rezeki serta pekerjaan yang kita lakukan, tidak sesekali kita lupa daripada memuji dan memandang redha Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Julai 2016
\"2016-07-26\"
Scroll to Top