KERANGKA MODEL PENGAJIAN TAHFIZ MALAYSIA BAKAL SELARAS SISTEM TAHFIZ NEGARA

KUALA LUMPUR, 29 Okt (IKIM) – Kerajaan kini sedang membangunkan Kerangka Model Pengajian Tahfiz Malaysia (MPTM) bagi menyelaras dan memperkukuh sistem pengajian tahfiz di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar. 

Beliau berkata model berkenaan merangkumiempat pendekatan utama, iaitu Tahfiz Akademik, Tahfiz Turath, Tahfiz Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Intervensi Tahfiz.

“Keempat-empat model ini sedang dalam kerangka pembangunan dan dijangka siap tidak lama lagi. Model ini akan diselaraskan pemakaiannya di setiap negeri bagi pelaksanaan di maahad tahfiz berdaftar,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na’im menjelaskan bahawa MPTM akan menjadi panduan penting bagi menentukan hala tuju institusi tahfiz di masa hadapan, dengan mengambil kira keperluan semasa serta potensi pelajar tahfiz untuk terus maju dalam pelbagai bidang.

Beliau turut memaklumkan, bengkel perbincangan mengenai kerangka model itu telah diadakan pada 16 Mei lalu, melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), wakil universiti serta institusi tahfiz.

Sebelum ini, katanya, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sebagai usaha memperkukuh sistem pendidikan tahfiz dan meningkatkan kebolehpasaran lepasan tahfiz melalui integrasi akademik serta latihan kemahiran.

“Dua teras utama dalam DPTN menjadi asas kepada pembangunan MPTM, iaitu mewujudkan model institusi tahfiz dan merangka kurikulum pendidikan tahfiz yang menyeluruh,” tambah beliau. 

Beliau menegaskan, pembangunan MPTM selaras dengan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi huffaz profesional yang bukan sahaja mahir dalam hafazan al-Quran, tetapi juga berdaya saing dalam bidang akademik, teknikal dan kemahiran moden.

WhatsApp
Scroll to Top