KERAJAAN TERUS KOMITED SOKONG USAHA KEMANUSIAAN – PM ANWAR

KUALA LUMPUR, 8 Okt (IKIM) –  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus menyatakan komitmen dalam menyokong sebarang usaha kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang terus menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

Beliau berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan pelaksanaan gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir sebagai langkah susulan selepas percubaan misi pertama melalui laluan laut.

“Sekarang ini kita sudah cuba memecah kepungan Israel di Gaza melalui lautan, dan kini ada cadangan melalui sempadan Rafah yang wajar diberi pertimbangan,” jelas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, di sini malam tadi.

Beliau memaklumkan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau dikenali Nadir al-Nuri akan diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2026 bagi merangka strategi misi kemanusiaan ke Mesir serta usaha membuka laluan bantuan di Rafah.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj Mokhtar barisan jemaah menteri serta 23 delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru pulang ke tanah air selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Israel.

Turut hadir bersama Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa selepas sesi perbincangan, beliau akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bagi membincangkan langkah-langkah lanjutan untuk memastikan kelancaran misi berkenaan.

“Mudah-mudahan sempadan Rafah menjadi laluan lebih mudah bagi menyalurkan bantuan ke Gaza. Yang paling penting, misi ini membawa mesej jelas bahawa Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin. Dunia tidak boleh membisu terhadap kezaliman ini,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa rundingan diplomatik dan kerjasama antarabangsa amat penting dalam usaha mencapai kemerdekaan dan keadilan buat Palestin.

Beliau menjelaskan, pendirian Malaysia yang menyokong pelan damai 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, adalah atas dasar mencari titik perdamaian bukan kerana berpuas hati dengan isi pelan tersebut.

“Kita bersama dunia Islam dan negara yang progresif mahu menamatkan penindasan, penjajahan dan pembunuhan yang berlaku. Gaza mesti bebas dan rakyatnya mesti mendapat hak untuk hidup dengan aman,” katanya.

Himpunan malam tadi turut menyaksikan sokongan padu ribuan rakyat Malaysia yang hadir bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin, sekali gus mengangkat mesejkemanusiaan, keadilan dan kasih sayang sejagat yang menjadi asas kepada keamanan dunia.

WhatsApp
Scroll to Top