PUTRAJAYA, 13 September (IKIM) – Membasmi kemiskinan antara tumpuan yang bakal diberikan dalam Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) selain daripada pemerkasaan ekonomi negara serantau.
Forum yang bakal disempurnakan perasmiannya oleh YAB Perdana Menteri ini turut akan memberi tumpuan terhadap aspek kewangan Islam; ekonomi hijau dan kelestarian; belia, kemahiran dan pekerjaan termasuk industri halal dan pelancongan Islam.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengajur FSY2024, Prof. Dato’ Dr. Saadiah Mohamad berkata, forum yang mengetengahkan tema “Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” telah menjemput penceramah dan ahli panel berpengalaman antaranya dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain dari Malaysia.
“Mereka yang dijemput mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang seperti tokoh politik, pakar ekonomi, tokoh belia, penyelidik, pemimpin pelajar, usahawan sosial, pensyarah universiti awam dan swasta, wakil kementerian, ketua-ketua badan bukan kerajaan dan juga pengamal industri dalam sektor ekonomi dan kewangan Islam,” katanya.
Selain itu beliau menambah, penglibatan agensi-agensi agama berkaitan turut diundang dalam sesi perbincangan dan percambahan idea sepanjang forum ini berlangsung termasuk institusi masjid yang dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat.
Forum yang bakal diadakan pada 1 & 2 Oktober ini mensasarkan kehadiran 500 peserta dari dalam dan luar negara dan boleh diikuti secara fizikal mahupun dalam talian di laman Youtube YAPEIM TV dan menerusi sesi siaran langsung di Facebook YaPEIM (Official). IKIMfm, TV Al-Hijrah dan Bernama turut terlibat selaku rakan media FSY2024 yang bakal berlangsung di Hotel Putrajaya Marriott.
FSY2024 ini juga turut mengangkat Bahasa Melayu sebagai lingua franca Nusantara dalam sesi pembentangan dengan beberapa sesi akan turut dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Forum ini diharap dapat menjadi platform untuk merangka strategi baharu dan inisiatif yang praktikal bagi memajukan ekonomi Islam di rantau ini serta memberi dorongan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif.
Majlis sidang media yang berlangsung di sini hari ini turut dihadiri oleh En. Ameer Ali Vali Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).